WANITA dihukum memikul suami dimalukan di khalayak ramai. FOTO Twitter
WANITA dihukum memikul suami dimalukan di khalayak ramai. FOTO Twitter
Agensi

New Delhi: Gara-gara menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerja, seorang wanita di Madhya Pradesh, India dihukum dengan dipaksa memikul suami di atas bahunya.

Malah, wanita berkenaan dipukul dan diarak dengan tujuan mengaibkannya di khalayak ramai

Gulf News melaporkan, kejadian dilaporkan berlaku di kampung yang terletak di daerah Jhabua.

Ia mengundang kemarahan warganet selepas video berkenaan tular di laman sosial, sejak Jumaat lalu.

Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang wanita dipaksa memikul suaminya, manakala sekumpulan lelaki dan kanak-kanak dilihat memegang tongkat dan memukulnya.

Turut kedengaran dalam video berkenaan adalah suara orang ramai mentertawakan wanita berkenaan.

Susulan insiden itu yang tular di Twitter, Polis Jhabua menahan tujuh lelaki termasuk suami wanita berkenaan.

Pegawai Balai Polis Jhabua Kotwali, Narendra Singh Gadaria mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada petang Rabu.

Difahamkan, wanita itu dan suaminya bekerja sebagai buruh di Gujarat dan pulang ke kampung mereka, baru-baru ini.

Sekembalinya ke kampung, suami wanita itu menuduh isterinya melakukan hubungan sulit dengan rakan sekerja.

Ia menyebabkan mentuanya dan jiran mereka memutuskan untuk menghukum wanita berkenaan.

Dalam pada itu, wartawan kanan dan penganalisis politik yang berpangkalan di Jhabua, Chandrabhan Singh Bhadoriya berkata, insiden berkenaan bukan perkara asing di daerah itu.

Beliau berkata, hukuman itu turut diguna pakai penduduk di daerah lain seperti Alirajpur dan Dhar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:30 AM