THAILAND mula melakukan percubaan vaksin terhadap monyet selepas ujian ke atas tikus menunjukkan keputusan positif. FOTO AFP
THAILAND mula melakukan percubaan vaksin terhadap monyet selepas ujian ke atas tikus menunjukkan keputusan positif. FOTO AFP
BERNAMA

THAILAND memulakan percubaan vaksin Covid-19 terhadap monyet pada semalam, selepas ujian ke atas tikus menunjukkan keputusan positif.

Pengarah Institut Vaksin Kebangsaan, Nakorn Premsri berkata, jika ujian ke atas monyet memberikan keputusan positif, percubaan terhadap manusia dapat dijalankan menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Jika segalanya berjalan seperti dirancang, pengeluaran vaksin akan bermula tahun depan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Bangkok, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Vaksin Covid-19 Universiti Chulalongkorn, Kiet Rakrungtham berkata, sebanyak 10,000 dos vaksin akan dihasilkan untuk 5,000 sukarelawan bagi percubaan ke atas manusia.

"Vaksin ini akan dihasilkan dua kilang. Kami jangka kilang pertama akan mengeluarkan vaksin (untuk percubaan ke atas manusia) menjelang Oktober," katanya.

Sementara itu, Thailand melaporkan sifar kes baharu positif dan kematian berkaitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan angka kumulatif kekal pada 3,040 kes positif dan 56 kematian.

Ini adalah kali keempat bulan ini tiada kes baharu harian direkodkan di Thailand.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Dr Panprapa Yongtrakul berkata, setakat ini 63 kes masih dirawat di hospital dengan jumlah keseluruhan pesakit pulih dan dibenarkan pulang seramai 2,921 orang.

Thailand adalah negara pertama melaporkan kes Covid-19 di luar China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 9:42 PM