HAIWAN peliharaan tidak dibenarkan dimakan masyarakat di Shenzhen. FOTO Agensi
HAIWAN peliharaan tidak dibenarkan dimakan masyarakat di Shenzhen. FOTO Agensi
Agensi

PIHAK berkuasa Shenzhen di China memperkenalkan peraturan baru yang melarang rakyatnya memakan kucing dan anjing susulan penularan Covid-19.

Bangkok Post melaporkan, peraturan terbaharu itu diperkenalkan Kongres Rakyat Shenzhen, pihak perundangan bandar pada Selasa dan orang ramai boleh mengemukakan cadangan sehingga Khamis.

Draf peraturan itu merangkumi ‘senarai putih’ yang menyatakan sembilan jenis daging yang dibenarkan untuk dimakan.

Namun, kerajaan tidak memaklumkan tarikh ia dikuatkuasakan.

Menerusi ‘senarai putih’ itu, daging babi, lembu, ayam, arnab, ikan dan hidupan laut dibenarkan untuk dimakan, manakala haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, ular, kura-kura dan katak tidak dibenarkan untuk dimakan.

Pihak berkuasa memaklumkan kepada Shenzhen Special Zone Daily, ‘senarai hitam’ haiwan yang tidak dibenarkan untuk dimakan belum dapat dikeluarkan memandangkan China mempunyai ribuan spesies hidupan liar yang sukar disenaraikan.

Shenzhen mengikut langkah yang diperkenalkan Kongres Rakyat Nasional pada Isnin yang menyekat perdagangan dan penggunaan hidupan liar sebagai sumber makanan yang dikatakan menjadi punca penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:01 AM