USAHA menyelamat giat dijalankan di Mindanao. FOTO AFP
USAHA menyelamat giat dijalankan di Mindanao. FOTO AFP
Agensi

MANILA: Tujuh orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud yang menggegarkan selatan Filipina pada hari ini.

Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan bapanya yang berusia 44 tahun di wilayah Cotabato Utara antara mangsa terbunuh selepas mereka dihempap batu besar.

Reuters memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan yang berkata, bilangan mangsa maut dijangka meningkat kerana ramai yang cedera tidak dibawa ke hospital serta-merta.

Gempa bumi melanda pada jam 9.04 pagi waktu tempatan dan beberapa kawasan dilaporkan mengalami gegaran sehingga satu minit, menyebabkan kediaman, bangunan tinggi dan sekolah rosak.

BANGUNAN rosak teruk akibat gempa bumi di selatan Filipina hari ini. FOTO AFP
BANGUNAN rosak teruk akibat gempa bumi di selatan Filipina hari ini. FOTO AFP

Di bandar Magsaysay di wilayah Davao del Sur, seorang remaja lelaki dihempap dinding ketika menyelamatkan diri dari sekolah, lapor AFP.

Beberapa pelajar turut dilaporkan cedera dalam rempuhan beramai-ramai ketika masing-masing cuba meninggalkan bangunan sekolah itu.

Dalam kejadian berasingan, sekurang-kurangnya 50 orang termasuk tujuh murid dan guru cedera akibat terkena serpihan terjatuh.

Dua minggu lalu, Mindanao dilanda gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan merosakkan puluhan bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 8:27 PM