GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

COLOMBO: Kekecohan tercetus di parlimen Sri Lanka disebabkan sekumpulan saintis menamakan enam spesis baru cicak gecko bersempena nama pahlawan mitos dan tokoh negara.

Dua spesis baru gecko yang ditemui di pulau Lautan India pada 2017 hanya didedahkan pada Ogos lalu dan diberi nama pahlawan setia seorang raja pada abad satu.

Manakala empat spesis lain diberi nama bersempena nama pemberontak pemerintahan British pada abad ke-19.

Nama cicak berkenaan dilaporkan mencetuskan kemarahan Ahli Parlimen Wimal Weerawansa yang bertindak membawa perkara itu ke Parlimen.

“Pahlawan negara ini bukan gecko. Ekor gecko terputus apabila disentuh dan pahlawan kita bukan seperti itu,” katanya.

Turut tidak berpuas hati terhadap nama gecko berkenaan adalah seorang sami yang membuat aduan polis.

Bagaimanapun, jurucakap polis Ruwan Gunasekera memberitahu AFP, siasatan tidak dapat diteruskan kerana bukan kes jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:58 PM