GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

WASHINGTON: Jumlah pengguna rokok elektronik yang maut di Amerika Syarikat kini meningkat kepada lima orang, kata pihak berkuasa hari ini.

Satu wabak tercetus apabila ratusan orang diserang penyakit paru-paru teruk sehingga menyebabkan beberapa remaja terpaksa ditidurkan.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan berkata keputusan ujian makmal tidak menemui bahan terlarang dalam sampel produk rokok elektronik.

Keputusan itu menyebabkan penyiasat di New York fokus terhadap jualan produk rokok elektronik yang mengandungi ganja dan minyak vitamin E di pasaran gelap.

Terdahulu, dua pengguna rokok elektronik yang meninggal dunia didapati mengalami masalah kesihatan dengan salah seorang daripadanya mengguna produk yang mengandungi bahan aktif ganja, Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC).

Kini, terdapat lebih 450 kes penyakit paru-paru dipercayai berkaitan dengan rokok elektronik dan jumlah itu dua kali ganda berbanding laporan minggu lalu.

Jabatan Kesihatan New York dalam kenyataannya berkata, keputusan ujian makmal menunjukkan terdapat kandungan minyak vitamin E tinggi dalam kartrij ganja yang digunakan oleh 34 pesakit di negeri itu.

Vitamin E lazimnya terkandung dalam makanan tambahan dan produk sapuan kulit, namun menjadi bahaya apabila dihisap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 11:27 AM