YU ketika memperkenalkan sistem operasi HarmonyOS atau HongMeng. FOTO Reuters
YU ketika memperkenalkan sistem operasi HarmonyOS atau HongMeng. FOTO Reuters
AFP

DONGGUAN (CHINA): Gergasi telekomunikasi China, Huawei melancarkan sistem operasinya sendiri, hari ini ketika ia menghadapi ancaman kehilangan akses kepada sistem Android, di tengah ketegangan perdagangan memuncak antara Amerika Syarikat dan China.

Ketua perniagaan pengguna Huawei, Richard Yu yang memberitahu wartawan di selatan bandar Dongguan bahawa, sistem baru iaitu HarmonyOS atau HongMeng dalam bahasa Cina, akan membawa lebih banyak keharmonian dan kemudahan kepada dunia.

Perisian yang sangat dinantikan itu dianggap penting bagi kelangsungan teknologi selepas White House menghalang syarikat AS menjual produk teknologi kepada Huawei sekaligus menghalangnya untuk mengakses sistem operasi Android, Google.

Yu berkata, sistem baru itu adalah sistem operasi berorientasikan masa hadapan, menjadi lebih lancar dan selamat yang dikatakannya berbeza daripada Android dan iOS, Apple Inc.

Versi pertama sistem operasi akan dilancarkan akhir tahun menerusi produk pintarnya, sebelum ia diperluaskan ke semua peranti pintar termasuk teknologi yang boleh dipakai dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:34 PM