GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

SINGAPURA: Singapura mengharamkan ‘cyber-flashing’ iaitu perbuatan menghantar gambar kemaluan sendiri serta menggunakan gambar lucah untuk membalas dendam terhadap seseorang seterusnya menjadi negara terbaru yang mengambil pendekatan tegas terhadap kesalahan seksual dalam talian.

Parlimen Singapura meluluskan undang-undang Isnin lalu yang menjadikan pengedaran atau ancaman untuk mengedarkan gambar intim sebagai satu jenayah. Mereka yang cuma menggunakan gambar lucah untuk membalas dendam terhadap orang lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, selain denda dan sebat.

“Gambar intim boleh dikongsikan meluas di pelbagai platform seterusnya hampir mustahil untuk dihapuskan sepenuhnya. Ini mampu menyebabkan pelbagai kesusahan jangka panjang untuk mangsa,” kata Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Kesalahan ‘cyber-flashing’ membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda. Bagaimanapun, jika penerima imej lucah itu berusia bawah 14 tahun, pesalah berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau sebat.

Perubahan itu antara perkara diperkenalkan Singapura dalam pembaikpulihan Kanun Keseksaan negara itu. Antara langkah lain termasuk mengharamkan rogol dalam perkahwinan, mengharamkan patung seks kanak-kanak, selain membunuh diri bukan lagi satu kesalahan jenayah.

Kanun Keseksaan Singapura yang berusia hampir 150 tahun diwarisi dari pemerintahan British dan kali terakhir semakan dibuat terhadapnya adalah pada 2007.

Perbuatan membalas dendam terhadap bekas kekasih menggunakan gambar atau video intim tanpa izin mereka semakin menjadi masalah di seluruh dunia susulan penambahbaikan teknologi dan populariti media sosial dan semakin banyak kerajaan kini mewujudkan perundangan bagi mengekangnya.

Isnin lalu, seorang lelaki di Perth menjadi orang pertama didakwa mengikut perundangan baharu diperkenalkan Australia Barat kerana mewujudkan laman Instagram palsu di bawah nama bekas kekasihnya dan mengongsikan gambar intim di platform berkenaan selepas hubungan mereka berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:53 AM