KEROSAKAN akibat banjir kilat. FOTO/REUTERS
KEROSAKAN akibat banjir kilat. FOTO/REUTERS
AFP

KABUL: Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dalam banjir kilat di Afghanistan yang memusnahkan kediaman dan mengakibatkan sebahagian besar perkampungan di pedalaman negara itu terputus hubungan, kata pihak berkuasa.

Banjir yang bermula sejak awal semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di wilayah utara Faryab dan 10 orang di wilayah barat Herat, kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Afghanistan (ANDMA), Hashmat Bahaduri.

“Lapan orang terbunuh di wilayah Badghis di barat dan lima di wilayah Balkh di utara. Setakat ini lebih 3,000 kediaman musnah akibat bencana itu,” kata Bahaduri.

Pengarah Palang Merah Herat, Afghanistan, Mir Gulabuddin Miri, berkata sebahagian kawasan di pedalaman terputus hubungan, menyukarkan pasukan penyelamat membantu penduduk terjejas.

“Kawasan terjejas akibat bencana itu besar. Lebih 12 kawasan di wilayah ini terjejas teruk dan penduduk hilang kediaman mereka. Kami hanya mampu menyalurkan bantuan makanan dan selimut setakat ini,” katanya.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh akibat banjir kilat disebabkan hujan lebat yang menghanyutkan ribuan kediaman dan kenderaan di selatan wilayah Kandahar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:25 PM