Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Meskipun ditegur jiran, seorang wanita tanpa belas kasihan terus merotan anak anjing peliharaannya di hadapan rumahnya di Seremban 2, di sini, hanya kerana ia menggigit kasut.

Malah, video dirakam jiran berdurasi 51 saat pada 29 November lalu itu turut menunjukkan anak anjing itu yang tidak tahan dirotan cuba melarikan diri menerusi pagar, namun ditangkap dan digoncang wanita berkenaan.

Difahamkan, tindakan zalim wanita itu juga sudah beberapa kali ditegur jiran kerana anjing belaan keluarga itu kerap menangis dan menganggu jiran lain, namun tidak diendahkan.

Jiran mendakwa wanita itu mengikat haiwan peliharaan itu di luar rumah dan membiarkan ia berpanas serta berhujan.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, jiran wanita itu membuat laporan kepada pihaknya dan meminta jasa baik supaya anjing berkenaan diselamatkan.

"Jiran mendakwa pemilik haiwan belaan itu kerap memukul dua anak anjing. Video dirakam adalah kejadian kali ketiga dan beberapa teguran sudah dibuat, namun dia masih berdegil.

ANAK anjing yang menjadi mangsa dera di Seremban 2, pada 29 November lalu. FOTO ihsan pembaca
ANAK anjing yang menjadi mangsa dera di Seremban 2, pada 29 November lalu. FOTO ihsan pembaca

"Wanita ini dipercayai memukul anak anjing sehingga tangisannya boleh didengar di seluruh taman perumahan. Selepas beberapa kali memberi nasihat, jiran terpaksa merakam video kejadian untuk membuat aduan," katanya dalam satu kenyataan.

Arie berkata, difahamkan suami isteri berkenaan mengikat anjing pada pagar beberapa hari biarpun dalam keadaan hujan mahupun panas terik dari 1 November hingga 6 November lalu.

Beliau berkata, jiran terbabit membuat aduan kepada Animal Malaysia pada 30 November lalu bersama gambar dan video sebagai bukti penderaan haiwan itu, selain meminta pertolongan untuk menyelamatkan dua anjing itu.

"Aduan sudah dipanjangkan kepada pihak berkuasa haiwan di Putrajaya. Maklum balas diterima untuk tindakan penguatkuasaan dan siasatan kes dan hasil kes bergantung kekukuhan bukti penderaan untuk tujuan pendakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:13 PM