Sutopo minta pengguna media sosial henti sebar berita palsu. FOTO Twitter
Sutopo minta pengguna media sosial henti sebar berita palsu. FOTO Twitter
AFP

JAKARTA: Indonesia memberi amaran kepada pengguna media sosial hari ini supaya tidak menyebarkan berita palsu ketika pasukan penyelamat berusaha mencari mayat manusia susulan nahas pesawat malang Lion Air JT610 semalam.

Rentetan berita palsu disebarkan dalam talian sejak nahas pesawat berkenaan yang terjunam ke Laut Jawa semalam bersama 189 penumpang di dalamnya.

“Demi kita semua, tolong jangan sebarkan gambar mangsa dan berita palsu. Tolong bersikap bijak,” tulis tweet jurucakap agensi pencegahan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Sutopo, yang terkenal sebagai jurucakap suka berterus terang, mengetengahkan sejumlah gambar dan video yang tersebar.

Ia termasuk tulisan Facebook menunjukkan gambar bayi memakai jaket keselamatan diselamatkan dari bangkai pesawat.

Satu daripada gambar yang dikongsi hampir 5,000 kali dalam tempoh 24 jam memberi butiran mengenai usaha menyelamat.

“Ada banyak tulisan media sosial yang mendakwa menunjukkan imej seorang bayi terselamat dalam nahas JT610.

“Gambar ini sebenarnya menunjukkan bayi yang diselamatkan daripada bot karam pada Selasa 3 Julai 2018. Justeru, maklumat ini palsu. Tolong jangan sebarkan berita palsu,” katanya.

Pegawai agensi mencari dan menyelamat kesemuanya mengatakan mustahil menemui mangsa terselamat dalam nahas semalam.

Indonesia sekian lama mengalami masalah dengan berita palsu disebarkan di internet terutama ketika bencana.

Sutopo memberi amaran minggu ini terhadap kisah lain dalam berita palsu termasuk imej penumpang memakai topeng dan video penumpang menjerit, kedua-duanya secara salah mendakwa minit terakhir sebelum nahas.

Katanya, ia sebenarnya diambil dalam penerbangan berbeza ‘satu ketika dulu’ ketika pergolakan udara dan kesemua penumpang selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 9:00 PM