KEROSAKAN beberapa bandar menyebabkan jalan rosak, kenderaan terbalik dan tanah runtuh di Carcassonne. FOTO AFP
KEROSAKAN beberapa bandar menyebabkan jalan rosak, kenderaan terbalik dan tanah runtuh di Carcassonne. FOTO AFP
AFP

TOULOUSE: Sekurang-kurangnya 13 maut apabila ribut hujan menjadikan arus sungai semakin deras di barat daya Perancis hari ini dalam perkembangan terkini cuaca buruk di Eropah, kata pegawai.

Banjir kilat melanda beberapa bandar dan kampung sekitar bandar raya

Carcassonne, menyebabkan kereta terbalik, jalan rosak dan rumah runtuh.

Seorang biarawati warga emas hanyut apabila paras air yang semakin naik memusnahkan sebuah pusat agama di kampung Villardonnel di utara Carcassonne.

Sementara sekurang-kurangnya empat maut tengah malam semalam di kampung Villegailhenc yang paling teruk terjejas.

Ketika Perdana Menteri, Edouard Philippe menuju ke lokasi kejadian, Kementerian Dalam Negeri Perancis berkata keseluruhan 13 terbunuh selepas hujan lebat menyamai tiga bulan turun dalam masa beberapa minit.

“Air berada di mana-mana di dalam rumah. Semua dibanjiri.

“Apabila menjenguk keluar tingkap, saya cuma lihat air dan lumpur. Ia menyedihkan apabila anda berusia 70 tahun seperti saya dan perlu memperbaiki rumah dan menukar perabot,” kata Helene Segura dari Villegailhenc yang menyaksikan sekurang-kurangnya satu jambatan kecil runtuh.

Pihak berkuasa mengerah helikopter dan 600 anggota bomba membantu dalam operasi menyelamat, terutama penduduk di kawasan rendah sungai Aude yang mencapai paras tertinggi dalam masa 100 tahun, menurut agensi banjir Vigicrues.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 8:08 PM