SHARISTA sempat hidup bersama anaknya yang dilahirkan ketika koma selama tiga tahun sebelum meninggal dunia Isnin lalu. Gambar kiri, anaknya berusia 3 tahun. FOTO Facebook & GoFundMe
SHARISTA sempat hidup bersama anaknya yang dilahirkan ketika koma selama tiga tahun sebelum meninggal dunia Isnin lalu. Gambar kiri, anaknya berusia 3 tahun. FOTO Facebook & GoFundMe
Daily Mail

Tennessee (Amerika Syarikat): Seorang ibu ajaib sempat merasai peluang kedua selama tiga tahun untuk hidup bersama bayi yang dilahirkannya ketika terlantar koma sebelum meninggal dunia Isnin lalu, akibat komplikasi.

Sharista Giles dari Sweetwater, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) hamil empat bulan ketika terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia terlantar koma beberapa bulan.

Kejadian berlaku ketika dia pulang dari menghadiri konsert di Nashville bersama dua rakannya sebelum kereta dinaiki tergelincir lalu melanggar penghadang jalan pada Disember 2014.

Dua rakannya tidak mengalami kecederaan, namun Sharista terperangkap di bahagian tempat duduk dan cedera di bahagian otak.

Doktor mengatakan dia hanya mempunyai peluang hidup dua peratus dan mungkin tidak sedar kembali sebelum bayi lelaki, Leighton dilahirkan pramatang dengan berat 800 gram ketika kandungannya berusia 26 minggu.

SHARISTA dianggap ibu ajaib apabila melahirkan anak ketika koma dan sempat hidup selama tiga tahun bersama anaknya itu. FOTO GoFundMe
SHARISTA dianggap ibu ajaib apabila melahirkan anak ketika koma dan sempat hidup selama tiga tahun bersama anaknya itu. FOTO GoFundMe

Ketika itu keluarga Sharista mula berputus asa, namun dia secara tiba-tiba sedarkan diri apabila membuka mata empat bulan selepas itu.

“Saya tidak dapat memahaminya tetapi berasa lega. Saya tahu ia benar-benar satu keajaiban, ia satu keajaiban,” kata ibunya, Anna Moser kepada WATE ketika itu.

Sharista sempat melihat anaknya itu membesar selama tiga tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi berterusan dialami sejak kemalangan itu.

Ibu saudara Sharista, Beverly Giles berkata, ibu muda itu yang sepatutnya berusia 23 tahun pada Julai ini tidak pulih sepenuhnya sejak kemalangan terbabit.

“Dia cuba bercakap dan dia boleh menggerakkan tangannya. Sejak kemalangan itu, dia hanya terlantar,” kata Beverly kepada WFMY.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:31 AM