ORANG ramai melihat asap tebal akibat serangan di Ouagadougou. - EPA
ORANG ramai melihat asap tebal akibat serangan di Ouagadougou. - EPA
AFP

Ouagadougou: Sekurang-kurangnya 16 terbunuh, termasuk lapan tentera dalam dua serangan bom di ibu negara Burkina Faso, membabitkan Kedutaan Perancis dan ibu pejabat tentera negara itu, di sini.

Dalam serangan pertama, lima lelaki keluar dari sebuah kereta di sini, dan melepaskan tembakan terhadap orang ramai sebelum menuju ke arah kedutaan Perancis.

Pada masa sama, bom diletupkan berhampiran ibu pejabat tentera dan pusat kebudayaan Perancis, kira-kira satu kilometer dari lokasi serangan pertama.

Menurut kerajaan, serangan mungkin menyasarkan mesyuarat pasukan anti keganasan serantau G5 Sahel.

Pegawai dari Burkina Faso, Chad, Mali, Mauritania dan Niger menghadiri mesyuarat itu bagi mewakili negara G5 Sahel yang mahu melancarkan kerjasama ketenteraan bersama bagi memerangi pengganas di selatan gurun Sahara.

Menteri Keselamatan Burkina Faso, Clement Sawadogo berkata, lapan anggota tentera maut dalam serangan itu, 80 lagi cedera.

Menurutnya, pasukan keselamatan turut menembak mati lapan penyerang.

Katanya, mesyuarat G5 yang sepatutnya diadakan di ibu pejabat tentera itu, dipindahkan ke lokasi lain.

“Kenderaan digunakan dipenuhi bahan letupan yang mengakibatkan kerosakan teruk,” katanya.

Tiga sumber keselamatan - dua di Perancis dan satu di Afrika Barat - berkata, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dalam serangan di ibu pejabat tentera saja.

Sumber kerajaan Perancis berkata, tiada rakyat negaranya cedera atau mati dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 6:01 AM