PEJUANG dan orang ramai menyambut kekalahan Daish di Raqa. - AFP
PEJUANG dan orang ramai menyambut kekalahan Daish di Raqa. - AFP

Raqa (Syria): Askar dari pakatan tentera disokong Amerika Syarikat (AS) semalam mencari mangsa terselamat serta bom di celah runtuhan bangunan Raqa, sehari selepas merampas semula bandar berkenaan yang sebelum ini dianggap ‘pusat pentadbiran’ Daish di Syria.

Serangan terakhir oleh Pasukan Demokratik Syria, Selasa lalu, berjaya meruntuhkan pertahanan kumpulan militan seterusnya membolehkan mereka mengisytiharkan kemenangan antara yang paling penting dalam perang tiga tahun terhadap Daish.

Pejuang SDF yang mengibarkan bendera kuning Kurdis memburu anggota militan yang bersembunyi di hospital utama dan stadium Raqa seterusnya mengakhiri kempen lebih empat bulan di situ sebelum menyambut kemenangan mereka di bulatan yang diberi gelaran ‘Lingkaran Neraka’ kerana menjadi lokasi pelaksanaan hukuman bunuh selama kehadiran Daish.

Jurucakap SDF Mustefa Bali sementara itu berkata, tugasan mereka masih belum selesai kerana perlu memastikan keadaan selamat dengan membuang sebarang jerangkap samar atau letupan ditinggalkan Daish.

“Sebaik semuanya selamat kami boleh membuka semula bandar ini,” katanya.

SDF dan perkhidmatan risikan Kurdis mengeluarkan arahan melarang puluhan ribu keluarga dari Raqa kembali ke kediaman mereka sebelum keadaan diisytiharkan selamat.

Kejatuhan Raqa ke tangan SDF itu bererti Daish kini cuma memiliki sedikit kawasan antara sempadan Iraq-Syria yang cuma secebis ‘wilayah’ diumum miliknya pada Julai 2014.

Selasa lalu, pakatan tentera AS yang menyokong pertempuran anti-Daish di Iraq serta Syria berkata, kumpulan militan itu sudah kehilangan 87 peratus wilayah dirampasnya tiga tahun lalu.

Raqa antara kubu terpenting Daish untuk penyebaran propaganda serta operasi ketenteraannya, dengan beberapa serangan berprofil tinggi di Barat - seperti pembunuhan beramai-ramai di Paris pada 2015 - dipercayai dirancang di bandar itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:37 AM