GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Reuters

Jakarta: Indonesia kelmarin benyekat akses kepada perkhidmatan aplikasi Telegram dengan alasan ia digunakan untuk menyebarkan propaganda radikal dan keganasan di negara itu.

Langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kehadiran dan pengaruh Daish di negara itu selepas kekalahan kumpulan berkenaan di Syria dan Iraq.

Indonesia mengalami beberapa serangan ganas dengan yang terbaru pada Mei lalu apabila tiga anggota polis terbunuh dalam serangan bom di sebuah stesen bas di Jakarta.

Ia sudahpun meningkatkan kerjasama antikeganasan dengan Malaysia dan FIlipina.

“Sekatan perlu dilakukan kerana terlalu banyak saluran pada perkhidmatan itu yang penuh dengan propaganda radikal dan keganasan, kebencian, cara membuat bom, cara melakukan serangan, imej yang tidak wajar.

“Semua itu bertentangan dengan undang-undang Indonesia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian komunikasi dalam laman webnya.

Menurut kementerian itu, aplikasi mobil dan komputer akan disekat di seluruh Indonesia. Ia bagaimanapun tidak menyebut sama ada tindakan serupa akan diambil terhadap aplikasi mesej lain.

Menulis di Twitter, Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov berkata, syarikatnya akan menyiasat dakwaan Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 3:09 AM