R2-D2. FOTO Starwars.com
R2-D2. FOTO Starwars.com
AFP

UNIT robot R2-D2 yang diguna dalam beberapa filem ‘Star Wars’ dilelong pada harga hampir RM12 juta di Los Angeles.

Pembeli yang tidak didedahkan identitinya membayar AS$2.76 juta (RM11.85 juta) untuk membeli R2D2 itu, Rabu lalu sekaligus menjadikannya jualan termahal acara tiga hari itu.

Menurut katalog Profiles in History, R2-D2 itu dihasilkan daripada beberapa bahan yang diguna ketika rakaman trilogi pertama pada 1977 hingga 1983 dan dua daripada filem selepas itu pada 1999 hingga 2006.

Watak setinggi 109 sentimeter itu terkenal sebagai rakan setia Luke Skywalker selain watak lucunya dan kerap dilakonkan pelakon Inggeris, Kenny Baker.

Sementara itu, ‘Lightsaber’ watak Luke Skywalker yang digunakan dalam filem A New Hope dan The Empire Strikes Back’ dilelong pada harga AS$450,000 (RM1.93 juta) manakala topeng watak Darth Vader menarik harga AS$96,000 (RM412,267).

Selain unit R2-D2 dan barangan Star Wars itu, beberapa koleksi memorablia Hollywood lain termasuk siri televisyen Battlestar Galactica serta Buck Rogers dan filem Titanic turut dilelong.

Secara keseluruhan, AS$14 juta (RM60.12) dijana hasil lelongan tiga hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 5:03 PM