ACARA Mahabbah Cycling anjuran YIDE capai matlamat beli mesin hemodialisis. FOTO: Faiz Anuar
ACARA Mahabbah Cycling anjuran YIDE capai matlamat beli mesin hemodialisis. FOTO: Faiz Anuar
Zaitie Satibi

MATLAMAT Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumpul dana membiayai pembelian mesin hemodialisis bagi Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tercapai apabila meraih RM742,000 menerusi kayuhan amal Mahabbah Cycling 2019, baru-baru ini.

Beberapa mesin yang ada sekarang di pusat berkenaan sering mengalami kerosakan dan perlu segera diganti.

Dalam acara itu, seramai 500 peminat sukan berbasikal menyertai kayuhan sejauh 12 kilometer dari tempat pelepasan di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, Kapar, Klang melalui kawasan perkampungan sebelum kembali ke masjid berkenaan.

KELUARGA asnaf gembira menerima kunjungan Tengku Amir Shah yang menyampaikan sumbangan.
KELUARGA asnaf gembira menerima kunjungan Tengku Amir Shah yang menyampaikan sumbangan.

Kayuhan yang turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu diadakan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac setiap tahun di seluruh dunia dan tema tahun ini ialah ‘Gaya Hidup Sihat, Untuk Buah Pinggang Sihat’.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, penganjuran kayuhan amal itu julung kali diadakan kerana tahun lalu pihaknya mengadakan acara larian amal yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pesakit yang menjalani rawatan dialisis, agensi korporat dan orang awam.

PESERTA membacakan doa sebelum acara kayuhan dilepaskan.
PESERTA membacakan doa sebelum acara kayuhan dilepaskan.

“Ada 48 mesin hemodialisis di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS yang menampung 270 pesakit keseluruhannya. Sembilan mesin berkenaan dan empat lagi mesin air osmosis songsang perlu ditukar kerana sudah lebih 10 tahun diguna.

“Enam cawangan itu di Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Gombak. Penggunaan mesin hemodialisis secara tiga sesi setiap hari tanpa henti menyebabkan ia mudah rosak.

“Keadaan mesin yang uzur juga menyebabkan kerosakan sering berlaku dengan kos baik pulih yang tinggi sehingga mengganggu proses rawatan setiap hari,” katanya yang menerima sumbangan bagi dana pembelian mesin hemodialisis daripada enam penaja acara kayuhan berkenaan.

TENGKU Amir Shah beramah mesra dengan pesakit buah pinggang di pusat hemodialisis.
TENGKU Amir Shah beramah mesra dengan pesakit buah pinggang di pusat hemodialisis.

Sambil berkayuh, Tengku Amir Shah berkenan untuk menziarahi keluarga asnaf dan pesakit dialisis di Pusat Dialisis MAIS Cawangan Kapar. Kelainan ditampilkan pada acara tahun ini apabila YIDE menganjurkan juga karnival mini, kenduri rakyat dan jualan daripada usahawan produk asnaf LZS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 5:00 AM