FARDAHILA Omar melihat  pokok kaktus di rumahnya. FOTO Syarafiq Abd Samad
FARDAHILA Omar melihat pokok kaktus di rumahnya. FOTO Syarafiq Abd Samad
Aniza Zainudin

TUMBUHAN primitif yang mengalami evolusi ini mempunyai penggemar tersendiri berikutan keunikan ciri fizikal dan penjagaannya dikategorikan cukup mudah.

Berasal daripada keluarga Cactaceae yang mempunyai 127 genera dengan kira-kira 1,750 jenis spesies berbeza, kaktus sememangnya sinonim sebagai tumbuhan berduri yang berfungsi membantu mencegah kehilangan air di habitat bercuaca kering.

Namun terdapat juga kategori kaktus tidak mempunyai ciri berduri, yang dipanggil sukulen dan kian popular penggunaannya sebagai flora hiasan bagi kediaman, pejabat mahupun kafe hipster hari ini.

Bagi pencinta kaktus, Fardahila Omar, tanaman kaktus sememangnya tampak mudah dan hanya memerlukan kuantiti air sedikit. Atau lebih tepat, penyiraman dilakukan hanya sekali bagi tempoh satu minggu.

TERARIUM terbuka sesuai dijadikan hadiah.
TERARIUM terbuka sesuai dijadikan hadiah.

“Saya mula berjinak-jinak dengan tanaman kaktus sejak dua tahun lalu bagi mengisi masa lapang, selain menambah kemahiran menanam pokok yang sememangnya bukan kepandaian saya.

“Berdasarkan rujukan, kaktus dikategorikan tanaman paling mudah untuk dijaga. Tapi mengikut pengalaman saya, pokok kaktus memiliki sensitiviti tersendiri dan kegagalan memahami ‘sifat’ itu boleh membuatkan tumbuhan ini mati.

“Seperti yang sedia maklum, pokok kaktus tidak memerlukan air yang banyak. Ini kerana batangnya menyimpan air bersesuaian dengan habitat semula jadi kaktus memerlukan cahaya matahari yang banyak.

“Penyiraman yang kerap dan banyak boleh mengakibatkan kaktus mati apabila batangnya menjadi lembik dan kehitaman, seterusnya merosakkan akar.

“Selain daripada kaedah penyiraman, kaktus juga sensitif dengan campuran tanah digunakan. Kaktus hidup di tanah yang poros dan tidak menakung air seperti pasir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, baru-baru ini.

HASILKAN terarium terbuka.
HASILKAN terarium terbuka.

Menurut wanita berusia 38 tahun ini, satu lagi tip penting untuk menjaga tanaman kaktus adalah menukar tanah pokok yang dibeli di nurseri kepada campuran tanah baru.

Selepas puluhan kaktus dibeli Fardahila mati, akhirnya dia berjaya melakukan eksperimen campuran tanah yang bersesuaian.

Antara campuran tanah yang dilakukan Fardahila termasuk pasir, batuan kecil, tanah hitam (mengandungi sabut kelapa dan sekam padi), per lite (lava gunung berapi yang diproses) dan tambahan, baja lepas lambat ‘osmocote’.

“Penukaran tanah tanaman kaktus perlu dilakukan sebaik ia dibeli sama ada di nurseri mahupun dalam talian demi memastikan kaktus berkenaan menerima zat baru bagi proses pembesaran.

“Ini antara panduan campuran tanah kaktus bagi saiz medium. Saya menggunakan dua skup tanah, satu skup per lite, pasir, batu lava dan baja. Bahan ini perlu digaul dan sifatnya perlu poros.

“Kemudian campuran tanah poros ini dimasukkan ke dalam pasu, diikuti proses penanaman kaktus. Lagi satu tip, jangan siram pokok kaktus ini selama seminggu bagi membiasakan dengan habitat baru.

“Proses penukaran tanah ini juga boleh dilakukan sekiranya kaktus mula membesar atau mengeluarkan anak. Tetapi selalunya proses pembesaran kaktus memakan masa agak lama, sekurang-kurang satu hingga dua tahun.

“Selain itu, saiz pasu tidak bersesuaian, kurang air, cuaca panas ekstrem dan pemberian baja yang banyak antara faktor mengakibatkan kaktus stres.

KAKTUS memerlukan tanah poros.
KAKTUS memerlukan tanah poros.

“Apabila ia mengalami tekanan, kaktus ini akan mempamerkan rasa tidak ‘puas hati’ dengan mengeluarkan bunga berwarna merah, kuning, putih dan merah jambu,” jelasnya.

Merujuk kepada tanaman sukulen yang segelintirnya dikategorikan kaktus, Fardahila mengakui pokok berkelopak ini agak cerewet untuk dijaga kerana memiliki sifat berbeza-beza.

Katanya, terdapat tanaman sukulen yang memerlukan cahaya matahari secara langsung dan ada juga sebaliknya.

Keunikan dan tarikan sukulen adalah perubahan warna tumbuhan yang dipengaruhi sepenuhnya oleh faktor cuaca dan suhu.

“Ketika kita membeli pokok sukulen di Cameron Highlands, warna asalnya bertukar kepada rona berbeza kerana faktor cuaca sejuk dan panas.

“Oleh kerana sukulen lebih mudah hidup di kawasan tinggi dan agak sejuk, kita perlu ‘mengajar’ pokok ini untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan suhu baru.

“Contohnya, jangan terus mendedahkan sukulen kepada cahaya matahari secara langsung,” ujarnya.

Seiring dengan trend dekorasi masa kini, kaktus dan sukulen turut berjaya menarik perhatian untuk dijadikan aksesori hiasan semula jadi bagi memperindahkan lagi sesuatu ruang.

Selain hanya bergantung kepada ciri tipikal sedia ada, kaktus dan sukulen juga menjadi flora pilihan utama dalam penghasilan terarium terbuka (tumbuhan kecil yang ditanam dalam balang kaca tanpa penutup).

KAKTUS yang menghasilkan bunga.
KAKTUS yang menghasilkan bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:21 PM