ANTARA hasil cili yang diuruskan GrasiCili.
ANTARA hasil cili yang diuruskan GrasiCili.

Kuala Lumpur: Pertanian kluster dengan teknologi moden selain kaedah pemasaran sistematik mampu memastikan 100 peratus hasil tanaman dapat dijual dan tiada lambakan berlaku.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan melancarkan program pertanian kluster cili menggunakan teknologi moden di Kelantan Bio Valley, Gong Datok, Pasir Puteh, Kelantan.

Projek inovatif ini diterajui oleh GrasiCili dan akan beroperasi di atas tanah berkeluasan 10 ekar berkonsepkan pertanian kontrak.

Ia dijalankan dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor agromakanan di Kelantan.

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, projek rintis ini mampu melonjak produktiviti dan nilai tambah sektor pertanian, selain membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan B40 dan miskin tegar di Jajahan Pasir Puteh dan Kelantan umumnya.

"Model pertanian 'economies of scale' ini terbukti berdaya saing dan bernilai tinggi apabila kos dapat dikurangkan melalui skala operasi dan pengeluaran yang tinggi dengan penggunaan teknologi dan automasi, pemantauan kualiti serta kawalan risiko.

"Aktiviti operasi, infrastruktur, logistik dan pemasaran juga dijalankan secara berpusat dan setempat bagi memastikan kecekapan dan produktiviti ladang di tahap optimum.

"Sistem pemasaran yang sistematik oleh GrasiCili juga akan memastikan 100 peratus hasil tanaman dijual dan tiada lambakan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ladang berkeluasan 10 ekar ini mampu menghasilkan 65 tan metrik cili semusim, bersamaan 130 tan metrik setahun.

Projek ini berpotensi untuk dikembangkan secara meluas di seluruh Kelantan, yang bukan saja bakal melonjak produktiviti sektor pertanian, malah mampu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan, membuka peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di negeri ini.

Katanya, ketika ini projek ini sedang melalui proses pembersihan tanah, dijangka akan mula beroperasi pada Mac 2024.

Ladang cili ini juga adalah salah satu aktiviti pertanian yang sedang dibangunkan di Kelantan Bio Valley, milik Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:00 AM