AWANG Adek (dua dari kiri) dan Rizal (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara SC dan SME Corp.
AWANG Adek (dua dari kiri) dan Rizal (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara SC dan SME Corp.

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam usaha meningkatkan akses pembiayaan pasaran modal bagi kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

SC dalam kenyataan berkata MoU tiga tahun itu turut membuka laluan kerjasama dalam mewujudkan saluran PMKS terhadap pasaran modal serta meningkatkan kesedaran, kesediaan kemampanan serta tadbir urus korporat mereka.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata MoU tersebut menjadi langkah penting untuk SC dan SME Corp ke arah menyokong pengembangan serta daya tahan PMKS yang juga enjin pertumbuhan utama ekonomi.

"MoU ini sejajar dengan visi kami untuk memupuk pasaran modal yang rancak dan berdaya tahan serta memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada syarikat besar tetapi juga perusahaan kecil," katanya pada majlis pemeteraian MoU berkenaan.

Dokumen itu ditandatangani oleh Awang Adek mewakili SC manakala SME Corp diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak terbabit menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 200 PMKS yang sedia dengan pasaran modal menjelang 2026 selain meningkatkan kira-kira 300 PKS dengan pendedahan kemampanan serta amalan tadbir urus korporat terbaik.

PMKS merupakan tonggak penting dalam ekonomi, menyumbang kira-kira 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 48 peratus daripada jumlah guna tenaga pada 2022.

Awang Adek berkata menerusi perkongsian itu, SC dapat memanfaatkan kepakaran dan sumber untuk membantu PMKS menangani cabaran.

Ini, katanya, dengan memberi akses lebih baik kepada pembiayaan dan membina daya tahan PMKS menerusi pemahaman, menggabungkan amalan tadbir urus korporat serta kemampanan dalam perniagaan mereka.

Sementara itu, Rizal berkata SME Corp dan SC komited bagi memastikan pasaran modal berdaya saing dan rancak lain membolehkan PMKS kekal mendapat akses berkaitan.

"Oleh itu, kerjasama ini membuka jalan ke arah kerancakan dan daya saing pasaran modal. Sebagai agensi penyelaras pusat untuk pembangunan PMKS, SME Corp komited memainkan peranan penting untuk menerajui agenda kemampanan PMKS," katanya.

Menerusi MoU itu juga, SC dan SME Corp bersetuju memulakan beberapa inisiatif pembangunan bersama untuk mengukuhkan pandangan pasaran serta analisis data mengenai akses PMKS ke atas pasaran modal selain mengembangkan kumpulan pembiayaan pasaran modal untuk kelompok berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:02 AM