DIJANGKAKAN defisit berada pada sekitar  5.5 peratus daripada KDNK pada tahun depan.
DIJANGKAKAN defisit berada pada sekitar 5.5 peratus daripada KDNK pada tahun depan.
Oleh Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Keutamaan segera kerajaan baharu yang dibentuk adalah menunaikan manifesto yang dibentangkan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terutamanya membabitkan langkah bagi menangani kos sara hidup, kebajikan dan keselamatan sosial, demikian tegas penganalisis ekonomi.

Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Ilias berkata, kesemua manifesto gabungan parti politik semasa PRU-15 seperti Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menyenaraikan isu populis berkenaan.

Katanya, manifesto terbabit meliputi setiap golongan masyarakat dengan pelbagai janji dan tawaran yang menarik minat rakyat.

"Sekadar untuk mengimbas kembali, sasaran fiskal jangka masa sederhana ketika Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah mengurangkan defisit bajet kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

"Dijangkakan pada tahun ini defisit berada sekitar 5.8 peratus daripada KDNK dan 5.5 peratus pada 2023," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, walaupun ketidaktentuan politik semakin berpanjangan namun Malaysia masih berdaya tahan dari segi ekonomi kerana negara ini boleh menyesuaikan diri dengan pantas terhadap sebarang perubahan.

"Walaupun begitu, ia tidak bermakna (Parlimen) kita mampu untuk terus tergantung tanpa membuat keputusan. Banyak risiko penurunan kepada pertumbuhan ketika ini adalah disebabkan oleh (faktor) luaran.

"Kita tidak mahu pertimbangan domestik membebankan lagi prospek jangka masa pendek kerana isu ini berada dalam kawalan kita," katanya.

Penganalisis Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Geoffrey Williams pula berpandangan bahawa kerajaan baharu perlu membentangkan semula belanjawan.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia masih belum meluluskan sebarang belanjawan untuk 2023 dan sehingga ia diluluskan, negara mungkin perlu menggunakan rizab luar jangka.

"Belanjawan itu harus membalikkan Bajet 2023 yang menjadi belanjawan sebelum pilihan raya. Peningkatan dalam perbelanjaan dan hutang adalah terlalu besar, akan menyebabkan inflasi yang lebih tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

"Bahagian pendapatan juga harus sejajar dengan 2022 sekitar RM285 bilion dan kerajaan harus cuba mengekalkan RM50 bilion royalti minyak jika boleh bergantung kepada harga minyak. Ini bermakna defisit hanya sekitar RM60 bilion berbanding RM100 bilion dalam Bajet 2023.

"Defisit yang lebih rendah akan mengurangkan tekanan ke atas inflasi dan kadar faedah," katanya.

Williams berkata, setelah jumlah pendapatan dan belanjawan diselesaikan, butiran lain boleh dimulakan mengikut manifesto parti-parti gabungan yang memerintah.

Beliau berkata, adalah menarik untuk menggabungkan cadangan daripada pelbagai gabungan kerana kesemuanya boleh ditampung dengan jayanya dalam belanjawan sedia ada.

Namun katanya adalah penting bahawa belanjawan baharu tidak mengikut agenda populis, sebaliknya kukuh dan boleh dipercayai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:01 AM