IDA Riswana (dua dari kanan) dan Mujibburrahman (dua dari kiri) selepas pemeteraian MoU antara Andalusia dan BSN.
IDA Riswana (dua dari kanan) dan Mujibburrahman (dua dari kiri) selepas pemeteraian MoU antara Andalusia dan BSN.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan melancarkan pakej pembiayaan peribadi patuh syariah bagi tujuan ibadah haji, umrah dan ziarah di bawah konsep 'Murabahah Tawarruq' dengan bayaran bulanan serendah RM151 selama 36 bulan.

Pakej pembiayaan peribadi ini bertujuan membantu pelanggan yang berkemampuan di samping menggalakkan golongan muda untuk menunaikan haji dan umrah pada usia muda kerana kebiasaannya golongan ini tidak berkemampuan disebabkan oleh kekurangan dana.

Pakej pembiayaan ini juga membolehkan orang ramai yang layak di bawah syarak iaitu di bawah hukum istito'ah untuk pergi umrah atau haji dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh.

Pengarah Merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, dengan peredaran masa dan evolusi pembangunan Vision 2030 yang sedang berlaku di Arab Saudi, harga pakej umrah dan haji kian meningkat termasuklah peningkatan kadar mata wang asing, tiket penerbangan, harga hotel dan lain-lain kos di luar kawalan.

Oleh itu, menurutnya, skim pembiayaan ini adalah tepat pada masanya untuk membolehkan lebih ramai lagi umat Islam menunaikan ibadah haji atau sekurang-kurangnya ibadah umrah sekali seumur hidup bagi mereka yang ada kemampuan.

"Menerusi pakej ini banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam terutama golongan yang mempunyai pendapatan tetap kerana skim pembiayaan ini adalah satu bentuk perancangan kewangan yang boleh mendisiplinkan umat Islam dalam merancang waktu pelaksanaan ibadah umrah dan haji di usia muda.

"Oleh itu, dengan inisiatif ini kami yakin ia juga bakal menggalakkan anak muda yang baru memulakan kerjaya untuk menabung dari awal lagi," katanya.

Ida Riswana berkata pihaknya percaya pembiayaan itu tidak akan mendatangkan beban hutang kepada ahli keluarga peminjam kerana melalui kerjasama ini, pemohon yang berjaya adalah mereka yang berpendapatan tetap dan terancang.

"Selain dari itu, sekiranya berlaku kematian sebelum pelunasan hutang, PruBSN Takaful akan mengambilalih hutang tersebut bagi memastikan ia tidak tertunggak kepada waris," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan BSN Mujibburrahman Abd Rashid berkata, menerusi skim itu, pelanggan boleh mendapatkan pembiayaan peribadi ini di bawah skim Islamik BSN MyRinggit-i dengan jumlah pembiayaan yang boleh dimohon adalah minimum RM10,000 sehingga RM200,000 dengan tempoh minimum antara dua hingga 10 tahun.

Pembiayaan yang ditawarkan ini juga adalah untuk bayaran pakej ibadah berserta duit perbelanjaan sewaktu mengerjakan ibadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:01 AM