BAJET 2022 menawarkan pengecualian duti import dan eksais sebanyak 100 peratus serta cukai jalan sifar bagi EV CBU sehingga 31 Disember 2023. FOTO EPA
BAJET 2022 menawarkan pengecualian duti import dan eksais sebanyak 100 peratus serta cukai jalan sifar bagi EV CBU sehingga 31 Disember 2023. FOTO EPA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain automotif berharap Bajet 2023 kali ini akan menyambung pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik (EV).

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata, persatuan itu menghargai usaha kerajaan untuk menyokong pasaran EV, tetapi menamatkan beberapa insentif semasa pada 2023 adalah terlalu awal.

"Kami memohon lanjutan pengecualian cukai import dan eksais sepenuhnya bagi unit siap dibina (CBU) EV sementara pasaran sedang bersiap sedia bagi pertumbuhan EV di Malaysia.

"Kami berharap akan ada insentif sehingga 10 tahun," katanya kepada Bernama.

Walaupun usaha untuk memasang EV sepenuhnya (CKD) mungkin sedang berjalan, angka jualan EV daripada unit CBU mula mencerminkan kenaikan pada tahun ini apabila insentif yang diperkenalkan semasa Bajet 2022 mula memberikan impak.

Hanya 274 unit EV baharu didaftarkan pada 2021, daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 508,911 unit.

Sebelum ini, Bajet 2022 menawarkan pengecualian duti import dan eksais sebanyak 100 peratus serta cukai jalan sifar bagi EV CBU sehingga 31 Disember 2023 dan pengecualian duti 100 peratus untuk EV CKD sehingga penghujung tahun 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 8:12 AM