Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - FOTO NSTP
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Badan-badan sektor ASEAN perlu terus bekerjasama untuk segera memuktamadkan baki inisiatif di bawah Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif Asean (ACRF), memandangkan persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu ketika ini.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean Ke-54 dan Mesyuarat Berkaitan di Siem Reap, Kemboja hari ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga melahirkan sokongan Malaysia terhadap cadangan untuk mengkaji pengembangan skop ACRF.

Beliau berkata pengajaran yang diperoleh semasa pelaksanaannya akan banyak membantu dalam merangka agenda Wawasan Pasca-2025 Asean.

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin juga menegaskan akan kepentingan pembinaan kapasiti bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta inisiatif yang akan membawa manfaat sebenar dan terus kepada rakyat terutamanya golongan belia, termasuk penciptaan pekerjaan dan tokokan nilai bagi perusahaan dan industri tempatan.

Menegaskan kepentingan untuk meningkatkan jaminan rantaian bekalan, beliau juga mencadangkan pengenalan inisiatif simpanan stok yang mana setiap negara akan menyimpan simpanan stok nasional produk kritikal yang negara tertentu itu mempunyai kelebihan berbanding rakan dagangan lain.

"Saya percaya inisiatif ini akan berjaya dalam memastikan rantaian bekalan dan kesalinghubungan serantau kekal kukuh dalam menghadapi krisis pada masa depan," katanya.

Memandangkan perlunya ada rantaian bekalan yang berdaya tahan, beliau berkata sudah sampai masanya untuk mengkaji semula perjanjian Asean Trade in Goods Agreement (ATIGA), untuk dapat membantu negara-negara bertahan daripada kejutan dan cabaran serta memenuhi keperluan perniagaan yang berubah-ubah.

"Cadangan semakan semula dan menaik taraf ATIGA harus berpandangan jauh, komprehensif dan lebih responsif kepada pembangunan global dan serantau untuk memasukkan cabaran baharu seperti teknologi hijau dan ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata ATIGA yang ditambah baik perlu relevan dengan sektor swasta dan perniagaan supaya manfaat sebenar kemajuan itu dapat dinikmati oleh rakyat, terutamanya PMKS dan belia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 10:26 AM