Orang ramai melihat pameran perumahan pada Perasmian Pembukaan Malaysia Property Expo Shah Alam / Kuala Selangor 2022 di Central i-City Mall, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Orang ramai melihat pameran perumahan pada Perasmian Pembukaan Malaysia Property Expo Shah Alam / Kuala Selangor 2022 di Central i-City Mall, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Nurul Husna Mahmud


Shah Alam: Tidak kurang 90 peratus pemaju terjejas sejak pandemik dan ada sebahagian terpaksa 'gulung tikar' apabila tidak dapat lagi bertahan dalam situasi industri hartanah yang mencabar.

Menurut Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Selangor, Datuk Zaini Yusoff, selain kenaikan kos bahan binaan dan juga cabaran tenaga kerja, pihaknya melihat kos sampingan lain perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib terutama kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu pihak pemaju dapat menyediakan hartanah mampu milik pada kadar harga lebih munasabah.

"Kami memberi keutamaan terhadap produk hartanah mampu milik kerana itu adalah syarat kerajaan negeri yang menetapkan setiap pemaju harus menyediakan 50 peratus hartanah mampu milik dalam projek dibina.

"Dari sudut pemaju, kami sendiri memiliki cabaran apabila perlu terus memastikan jualan hartanah terus berlangsung dalam situasi perlu menanggung beban kenaikan kos bahan binaan selain kekurangan tenaga kerja.

"Ketika ini, Rehda melihat pihak berkenaan dapat mempertimbangkan untuk mengecualikan caj atau yuran pematuhan kepada pemaju projek perumahan mampu milik kerana kami mahu menjual hartanah pada harga rendah kepada golongan B40 dan M20," katanya dalam majlis pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Shah Alam/ Kuala Selangor 2022, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penganjur Mapex Shah Alam/ Kuala Selangor 2022, Loo Chee Yang menyasasarkan kira-kira 10,000 pengunjung ekspo berlangsung dengan penawaran pelbagai segmen hartanah terutama rumah mampu milik.

"Sepanjang empat hari sejak kelmarin, ekspo hartanah terbabit menawarkan sebanyak 2,300 unit kediaman ditawarkan bermula dengan harga jualan serendah RM100,000 seunit bagi kategori Rumah SelangorKu ditawarkan Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor.

"Terdapat juga segmen hartanah komersial ditawarkan untuk pembeli atau pelabur. Semua hartanah ini meliputi unit di kawasan seperti Shah Alam, Klang, Puncak Alam, Damansara dan lokasi sekitar Lembah Klang.

"Pengunjung boleh memanfaatkan peluang termasuklah dalam memiliki hartanah sendiri menerusi kempen terbaru diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) baru-baru ini, Program Pemilikan Kediaman HOME (I-Milik) menerusi produk ditawarkan oleh 28 gerai pameran membabitkan 17 pemaju sepanjang ekspo berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 6:05 PM