Tan Sri Noh Omar
Tan Sri Noh Omar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) meminta Bank Rakyat untuk menyediakan dana khas bagi membantu koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian ini penting dan harus diberi keutamaan bagi membantu melancarkan rantaian agromakanan.

"Kuskop mempunyai banyak koperasi yang terbabit dalam sektor pertanian, contohnya ternakan ayam, kementerian ada 15 koperasi yang menghasilkan 42 juta ekor ayam.

"Jadi kita mahu bantu... daripada 42 juta ekor ayam ini, kita mahu hasilkan 52 juta ekor ayam serta melakukan contract farming.

"Ia sejajar dengan dasar yang dibuat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang mempunyai satu federasi yang akan memainkan peranan mengikut sektor masing-masing antara sektor federasi ini adalah sektor agromakanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.

Noh berkata, Kuskop komited dalam melaksanakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha mengatasi isu berkaitan sektor pertanian.

Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta di bawah Skim Agro Food Facilities bagi menggalakkan pengeluaran bahan makanan yang diuruskan koperasi berasaskan agromakanan.

Noh berkata, gerakan koperasi negara kini telah mencapai usia 100 tahun.

"Dan dalam tempoh seabad ini, koperasi sudah menunjukkan satu evolusi yang membanggakan dengan pelbagai pembabitan dalam sektor ekonomi yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Perjuangan gerakan koperasi seperti Bank Rakyat terus relevan dengan kejayaan meningkatkan kesejahteraan anggota melalui pembabitan aktiviti ekonomi dan keusahawanan. Pada masa yang sama, gerakan koperasi amat penting bagi menggerakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus dapat melahirkan 'Keluarga Usahawan'.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata Bank Rakyat akan memasuki tahun ke-68 sejak penubuhannya.

"Bagi memastikan Bank Rakyat kekal relevan untuk tahun-tahun akan datang. Bank Rakyat sudah merangka pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) yang kini berada dalam fasa pelaksanaan yang mana pada tahun 2021, kesemua 46 program yang direncanakan telah berjaya direalisasikan mengikut perancangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 2:21 PM