GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang bimbangkan pencerobohan data dinasihatkan menukar kata laluan dan memilih kata laluan yang sukar diramal.

Ketua Strategi Penyelesaian APAC Synopsys Software Integrity Group, Phillip Ivancic berkata, kata laluan sebaik-baiknya dipilih dalam bentuk frasa dan seberapa panjang yang dibenarkan.

"Kata laluan yang terbaik adalah dalam bentuk frasa. Gunakan frasa ringkas yang mudah diingati. Contohnya ayat "Ihave2petcats,and2petdogs" yang akan menjadi kata laluan mudah diingati dan selamat," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kumpulan penjenayah mungkin cuba membuat pinjaman atau melakukan penipuan kewangan lain menggunakan maklumat identiti dalam fail.

"Oleh itu, pengguna perlu mendaftar untuk mendapatkan makluman daripada sumber biro kredit rasmi untuk memaklumkan sekiranya memperoleh pinjaman, skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) atau kad kredit dikeluarkan atas nama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan berkaitan data peribadi jutaan rakyat Malaysia berusia 18 hingga 82 tahun yang berada dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa dijual dengan harga AS$10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Laman sesawang teknologi Lowyat.net menunjukkan set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh populasi 22 juta rakyat negara ini dijual pada harga terbabit di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

Ivancic berkata, walaupun pihak berkuasa masih belum mengesahkan butirannya namun jenis maklumat yang dilaporkan termasuk nombor kad pengenalan, tarikh lahir, alamat, jantina, agama dan gambar pengenalan rasmi sememangnya boleh digunakan oleh kumpulan penjenayah untuk melakukan penipuan identiti terhadap warganegara Malaysia.

"Kumpulan penjenayah mungkin cuba membuat pinjaman atau melakukan penipuan kewangan lain menggunakan maklumat identiti yang diperoleh.

"Saya pasti pihak berkuasa Malaysia akan memberikan nasihat rasmi, tetapi saya amat menggalakkan semua rakyat Malaysia menukar kata laluan mereka segera dan mendaftar untuk mendapatkan makluman daripada sumber biro kredit rasmi," katanya.

Katanya, pelanggaran data ini menyerlahkan kepentingan bagi organisasi untuk melaksanakan prinsip keselamatan aplikasi amalan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:25 PM