ISKANDAR (dua dari kanan),  Najmuddin  (tiga dari kiri) dan Sheikh Farouk   (tiga dari kanan) bersama kakitangan Aeon Big mengacau bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Aeon Bersama Komuniti di Aeon Big Bandar Tun Hussein Onn, kelmarin.
ISKANDAR (dua dari kanan), Najmuddin (tiga dari kiri) dan Sheikh Farouk (tiga dari kanan) bersama kakitangan Aeon Big mengacau bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Aeon Bersama Komuniti di Aeon Big Bandar Tun Hussein Onn, kelmarin.

Kuala Lumpur: Aeon BiG (M) Sdn Bhd (Aeon BiG) mencatatkan jualan sebanyak RM350 juta pada suku tahun pertama, tahun ini.

Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin berkata, ia membuktikan sokongan masyarakat terhadap perniagaan runcit dalam tempoh pandemik hingga peralihan ke fasa endemik.

"Bagi tahun kewangan 2021, jumlah jualan Aeon Big melonjak sehingga RM1.3 bilion.

"Ia adalah lonjakan yang sangat baik dan setakat suku tahun pertama tahun ini saja kami meraih RM350 juta.

"Bagi mengukuhkan lagi perniagaan dalam tempoh fasa peralihan endemik, Aeon bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mempromosi produk tempatan termasuk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Bubur Lambuk Aeon Bersama Komuniti di Aeon Big Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Najmuddin Jemain, Ketua Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed dan Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat Aeon Co (M) Bhd (Aeon), Dr Kasuma Satria Mat Jadi.

Selain agihan bubur lambuk, seramai 50 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia di Sungai Kantan, Kajang turut dibawa membeli pakaian raya dan diundang menghadiri majlis berbuka puasa.

Mengulas mengenai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agihan bubur lambuk dan menyantuni anak yatim yang diadakan, Iskandar berkata, perancangan dilakukan tiga bulan sebelum Aidilfitri.

"Selepas dua tahun berdepan pandemik, program ini kembali lagi.

"Sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk 21 cawangan Aeon Big dan 34 Aeon bagi menganjurkan program agihan bubur lambuk bersama komuniti setempat di seluruh negara.

"Program berlangsung hingga 24 April depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:44 AM