KERAJAAN akan terus membantu PKS melalui peruntukan yang dibuat di bawah Bajet 2022.
KERAJAAN akan terus membantu PKS melalui peruntukan yang dibuat di bawah Bajet 2022.

KERAJAAN akan terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui peruntukan yang dibuat di bawah Bajet 2022, antaranya melalui program SemarakNiaga.

Program berkenaan yang sudahpun bermula akan dilancarkan secara rasmi pada 21 Februari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merangkumi antara lainnya, pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti bagi mengembalikan keupayaan dan memastikan kelangsungan industri perniagaan.

"Jumlah peruntukan sebanyak RM40 bilion itu dibahagikan kepada beberapa segmen antaranya kredit mikro sebanyak RM1.8 bilion; pembiayaan ekuiti/alternatif (RM2.2 bilion); pinjaman mudah PKS (RM14.2 bilion); dan jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) (RM22 bilion termasuk peruntukan khas Bumiputera sebanyak RM2 bilion)," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat, semalam.

Laporan Kewangan Rakyat adalah penjenamaan semula bagi Laporan Laksana yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan secara mingguan sejak April 2020.

Tengku Zafrul berkata, khusus bagi perniagaan mikro, kerajaan sedar betapa pentingnya sokongan untuk mereka pulih dan bangun semula pasca pandemik.

"Apa yang penting sokongan kerajaan yang holistik, di mana semua lapisan usahawan dan perniagaan disokong, dari yang mikro, hingga ke syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

"Untuk pengetahuan semua, sejumlah RM1.8 bilion disediakan di bawah pembiayaan Skim Kredit Mikro.

"Kemudahan ini disediakan melalui agensi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun, Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Sementara itu, kerajaan juga berprinsip holistik di dalam memperkasakan kebolehpasaran pencari kerja di Malaysia.

"Selain dari Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, di bawah Bajet 2022, sebanyak RM6.6 bilion juga diperuntukkan untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.

"Sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

"Inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:01 AM