TNB memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 10.3 juta pelanggannya di sebalik cabaran pandemik Covid-19 yang  berterusan. FOTO Arkib NSTP
TNB memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 10.3 juta pelanggannya di sebalik cabaran pandemik Covid-19 yang berterusan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merangkul pengiktirafan Brand of the Year buat kali kelima dalam anugerah berprestij World Branding Awards edisi ke-14, anjuran World Branding Forum (WBF) yang berpangkalan di London baru-baru ini.

World Branding Awards ialah anugerah terunggul oleh WBF bagi mengiktiraf pencapaian jenama terbaik dunia atas pencapaian inovatif dan kreatif untuk kekal unik dan relevan kepada pelanggan mereka sepanjang tahun lalu.

TNB menerima pengiktirafan Brand of the Year bagi kategori Energy-Power pada 2014 dan menerima anugerah sama berturut-turut pada 2018, 2019, 2020 dan terbaharu 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, anugerah ini manifestasi usaha berterusan 35,000 warga kerja TNB memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 10.3 juta pelanggannya di sebalik cabaran pandemik Covid-19 yang berterusan.

"Kami sentiasa berusaha memberikan pengalaman pengguna bertaraf dunia dengan ketangkasan kami memperkenalkan perkhidmatan baru dan komitmen membuat pelaburan ke arah peralihan tenaga selaras aspirasi TNB menjadi pemacu perbekalan solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

"Antara inisiatif utama yang giat dilaksanakan sekarang adalah memperkukuhkan dan memodenkan sistem Grid Nasional menjadi grid pintar untuk perkhidmatan bekalan lebih berkualiti dan memasang meter pintar bagi memperkasa pengguna.

"Untuk meter pintar, pemasangannya kini memberi manfaat kepada 1.8 juta pengguna di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka.

"Projek pemasangan ini diperluaskan ke seluruh Semenanjung secara berperingkat," katanya.

Lebih 345,000 pengguna di seluruh dunia menyertai proses pencalonan World Branding Awards tahun ini. Daripada lebih 5,300 jenama dari lebih 60 negara yang dicalonkan, hanya 500 jenama diisytiharkan sebagai pemenang.

Secara purata hanya tujuh jenama pemenang diumumkan untuk setiap negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 8:41 AM