SIRI keempat webinar boleh diikuti melalui laman Facebook Harian Metro dan OmniaUSB. FOTO Arkib NSTP
SIRI keempat webinar boleh diikuti melalui laman Facebook Harian Metro dan OmniaUSB. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Program Omnia Usahawan Social Biz (OmniaUSB) yang dianjurkan Media Prima Omnia dengan kerjasama Harian Metro diteruskan dengan siri webinar keempat pada esok 23 November.

Siri pertamanya diadakan pada 18 Ogos lalu.   Bagi siri keempat, ia bakal menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Rizal Nainy, ikon Usahawan Muda 2019 merangkap pengasas My Mom's Bakery, Anne Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Momentum Internet Sdn Bhd, Najib Asaddok.

  Webinar ini dikendalikan pengacara terkemuka, Nazruddin Rahman bersama jurucakap jemputan dalam kalangan industri, penyedia sistem, institusi kewangan, kerajaan dan swasta serta personaliti terkemuka.

Media Prima Omnia berkata, untuk siri keempat, webinar ini akan diadakan secara langsung  dari Studio NSTP, Jalan Riong, di sini, bermula jam 3 petang.

"Seramai tiga tetamu merangkap jurucakap pada webinar itu sudah mengesahkan kehadiran mereka dalam webinar kali ini.

 "Ketiga-tiga jurucakap ini menyampaikan topik mereka secara perseorangan selama 20 minit, sebelum bersama Naz Rahman untuk sesi soal jawab," katanya.

Selain itu, mulai siri ketiga pada 27 Oktober lalu, golongan usahawan sudah menjadi tetamu tetap dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara penonton dengan OmniaUSB.

Untuk siri ini pula, usahawan tamu Anne Idris akan berkongsi pengalaman dan cabaran beliau dalam usaha memantapkan perniagaan dan menjadi ikon usahawan yang bertajuk Tiada Tapi, Tiada Nanti.

Secara ringkas, Rizal Nainy akan bercakap mengenai Merangsang Momentum Perniagaan PKS Melalui Platform Digital yang diperkasakan oleh SME Corporation untuk golongan usahawan yang ingin meningkatkan keupayaan perusahaan mereka.

 Di samping itu, Najib Asaddok pula akan menyampaikan perkongsian bertajuk Onlinekan Bisnes dan Tarik Sales untuk membuka jalan kepada usahawan menjadi lebih kreatif dalam memajukan bisnes mereka secara dalam talian.   Siri keempat webinar ini boleh diikuti melalui laman Facebook Harian Metro dan OmniaUSB, serta di laman www.omniausb.com.my pada 23 November 2021, bermula jam 3 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:41 AM