Mahadhir Aziz
Mahadhir Aziz

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu sentiasa bersedia meneroka peluang baharu yang muncul di sebalik situasi yang berlaku ketika ini disebabkan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, PKS perlu berfikiran terbuka dan sedia untuk berubah, berinovasi dan fleksibel dalam menuju ke arah pendigitalan perniagaan mereka.

Beliau berkata, justeru itu MDEC menyedari PKS perlu mendapat sokongan dan bimbingan bagi menangani cabaran yang dihadapi sekaligus menjadikannya terus berkembang.

"Sebagai peneraju ekonomi digital negara, MDEC sentiasa bersedia menyokong transformasi digital PKS di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif.

"Selain itu, MDEC juga menawarkan inisiatif pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan digital PKS menerusi Geran Automasi Pintar (SAG); Geran Teknologi Global (GTG); Cabaran Pencipta Kandungan Digital dan Geran Kandungan Digital," katanya ketika menyampaikan ucaptama Forum Perniagaan PKS BH secara maya semalam.

Mahadhir berkata, PKS juga perlu mengadaptasi pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka bagi memberikan ketahanan serta pemulihan dari impak pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah itu menjadi penyelesaian terbaik untuk dilaksanakan bagi jangka masa pendek dan menawarkan daya tahan lebih tinggi pada masa depan.

Katanya, cabaran ekonomi yang dihadapi ketika ini tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana pandemik Covid-19 memberi kesan yang cukup besar dan merubah cara kehidupan serta perniagaan dijalankan.

"Sudah pasti PKS adalah sektor yang paling terkesan dan mereka mengambil masa yang lama untuk kembali pulih.

"Saya berpendapat digital adalah penyelesaian pantas yang perlu diambil ini kerana PKS antara sektor perniagaan utama negara, merangkumi 98.5 peratus perniagaan di Malaysia.

"Namun daripada jumlah itu, hanya 57 peratus daripada PKS telah mengadaptasi pendigitalan dalam operasi perniagaan," katanya.

Mahadhir berkata, jika berlaku kegagalan dalam sektor ini, pasti ianya memberi impak besar kepada kesejahteraan hidup jutaan rakyat dan kepada ekonomi negara secara amnya.

Oleh itu beliau berkata, PKS perlu memahami kepentingan mengadaptasi digital dalam operasi perniagaan mereka ketika ini, kerana mereka merupakan golongan paling mudah terjejas bukan sahaja kerana pandemik tetapi juga cabaran perniagaan yang lain.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan MDEC katanya, PKS turut berdepan dengan beberapa cabaran utama iaitu kekurangan atau tidak berupaya mengadaptasi teknologi, kurang pendedahan kepada akses pembiayaan, kekurangan maklumat berkaitan potensi pasaran dan pelanggan, persaingan global, kekangan sumber manusia serta kelemahan dalam kawal selia dan perundangan.

"Dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ketika ini, keupayaan dan kepantasan mengatasi cabaran berkenaan ialah kunci utama kejayaan PKS.

"PKS perlu memulakan transformasi digital kerana dengan hanya langkah ini sebahagian besar masalah itu dapat diatasi dengan lebih berkesan menerusi penggunaan e-dagang, e-bayar, analisis data dan automasi.

"Bagaimanapun, transformasi perniagaan perlu dilakukan secara sistematik, agar peralihan ini berlaku dengan lancar dan tidak menjejaskan operasi seharian.

"Kesedaran mengenai proses transformasi digital perniagaan dan impak perlu dipupuk di kalangan PKS tempatan," katanya.

BH dan REV Media Group menganjurkan Forum Perniagaan PKS BH pada 14 dan 15 Oktober 2021 bersama pakar industri berkongsi pandangan membantu perusahaan kecil dan sederhana bangkit semula.

Layari laman web dan sosial media BH bagi mengikuti Forum Perniagaan PKS BH 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 10:02 AM