GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia membangunkan pelbagai inovasi dan pembaharuan teknologi tanpa sentuh yang membolehkan penumpang terbang dengan lebih selesa dan selamat dalam persiapan rancaknya untuk kembali terbang ke destinasi percutian bermula dengan Langkawi pada 16 September ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata, ia termasuk sistem daftar masuk yang mudah dan pantas yang membolehkan penumpang memuat naik dokumen kesihatan dan vaksinasi mereka untuk pengesahan segera melalui AirSsia Super App sebelum ke lapangan terbang.

Ini bermakna tidak perlu lagi beratur untuk ke kaunter atau bersesak di lapangan terbang, jelasnya.

"AirAsia turut memastikan prosedur operasi dilaksanakan dengan standard tertinggi termasuklah dengan menugaskan hanya kru penerbangan yang telah divaksinasi sepenuhnya untuk mengendalikan pesawat.

"Manakala ciri-ciri keselamatan pesawat itu sendiri seperti sistem pengudaraan dan penapis berkuasa tinggi yang digunakan di dalam kabin juga menjamin udara yang paling bersih untuk penumpang, seperti mana yang dibuktikan melalui pelbagai kajian dan penyelidikan antarabangsa," tambahnya.

Sebelum menempah tiket penerbangan, AirAsia turut menasihati penumpang memastikan beberapa perkara untuk menjamin perjalanan yang lancar.

Antaranya menyemak jika ada sebarang peraturan atau syarat-syarat tertentu yang ditetapkan untuk ke Langkawi dan destinasi lain termasuklah keperluan menyediakan dokumen kesihatan dan perjalanan seperti kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain, sekiranya diperlukan.

"Syarat-syarat ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, jadi sila dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu," jelasnya.

Memandang semua penumpang perlu mendaftar masuk secara kendiri bagi meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, daftar masuk melalui kaunter hanya untuk penumpang kurang upaya, penumpang yang membawa bayi bawah usia 24 bulan dan penumpang bawah umur yang terbang sendiri.

AirAsia menjelaskan caj daftar masuk kaunter akan dikenakan kecuali untuk kategori penumpang seperti yang dinyatakan di atas.

Penumpang digalakkan untuk tiba sebaik-baiknya empat jam sebelum masa berlepas dan wajib memakai pakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:11 PM