Ibu pejabat CBP.
Ibu pejabat CBP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama Bhd (CBP) mengumumkan pemberian dividen bersih pada kadar 6.0 peratus bagi syer biasa dan 6.7 peratus untuk syer keutamaan (iRCPS) CBP bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Dalam kenyataan hari ini, pembayaran dividen itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan anggota CBP manakala pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan CBP secara dalam talian melalui laman sesawang CBP atau di aplikasi mobil MyCoopbank mulai 27 Ogos 2021.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2020 yang berjumlah lebih RM58 juta merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP pada 1950.

"Bagi 2020, jumlah pembayaran dividen adalah sebanyak RM58.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 28.7 peratus berbanding RM45.3 juta pada 2019.

"Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 92,459 anggota CBP yang layak. Jumlah syer keseluruhan CBP pula melebihi RM900 juta setakat 31 Disember 2020," katanya.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari.
Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari.

CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM85.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, iaitu peningkatan sebanyak 15.9 peratus berbanding RM73.9 juta pada tahun sebelumnya.

Bilangan anggotanya turut meningkat menerusi penyertaan 1,039 anggota baharu yang menjadikan keseluruhannya sebanyak 92,459 orang pada 2020.

CBP menyifatkan prestasi baik tersebut didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pihak pengurusannya terutama bagi menangani suasana pertumbuhan perniagaan yang agak perlahan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Selain itu, kelewatan pengumuman dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 itu disebabkan oleh penukaran juruaudit dilantik yang memerlukan pelaksanaan proses lantikan semula selain kelulusan pihak pengawalselia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 12:10 PM