Nestlé Malaysia tawarkan baucar e-dompet bernilai RM500,000.
Nestlé Malaysia tawarkan baucar e-dompet bernilai RM500,000.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Nestlé Malaysia menganjurkan kempen untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan menawarkan baucar e-dompet bernilai RM500,000.

Dalam kempen yang diadakan dari 15 Julai hingga 22 September 2021 ini, Nestlé Malaysia akan menghadiahkan baucar e-dompet dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 secara percuma bagi mereka yang mendaftar untuk vaksin Covid- 19.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, peserta bertuah yang terpilih juga berpeluang mengambil bahagian, memenangi hadiah dan memberikan penghargaan mereka kepada kakitangan barisan hadapan pilihan mereka dalam satu rancangan pengiktirafan khas di televisyen yang dianjurkan oleh Nestlé dengan kerjasama Media Prima.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terus menjadi tunggak utama yang menerajui perjuangan menentang pandemik. Nestlé Malaysia menyokong sepenuhnya program vaksinasi dan berharap ganjaran ini memberikan insentif kecil tambahan kepada semua orang untuk mendapatkan vaksin," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mereka yang telah mendaftar untuk pemvaksinan Covid-19 di aplikasi MySejahtera, dan juga yang telah menerima dos vaksin pertama atau kedua mereka seperti yang dipaparkan pada profil MySejahtera masing-masing, layak untuk menghantar penyertaan dan merebut peluang memenangi baucar e-dompet Lazada bernilai RM20 secara percuma untuk penduduk Semenanjung Malaysia, baucar Boost untuk penduduk Sabah atau baucar Sarawak Pay bagi penduduk Sarawak, dengan sejumlah 25,000 baucar untuk dimenangi.

Untuk mengambil bahagian, sila kunjungi laman web kempen untuk mengisi borang dan memuat naik imej skrin halaman pendaftaran vaksin atau sijil digital pada profil MySejahtera.

Tiada pembelian produk diperlukan untuk menyertai kempen ini dan setiap peserta layak untuk menghantar satu penyertaan sahaja.

Kempen ini terbuka kepada semua orang yang bermastautin di Malaysia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen serta terma dan syarat, sila kunjungi https://www.dearnestle.com.my/ganjaran-vaksin-nestle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 2:15 PM