SURINA
SURINA
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meletakkan sasaran mencapai nilai dagangan kasar melebihi RM1 bilion dengan 10 juta transaksi bagi kempen Go-eCommerce Onboarding dan Kempen Shop Malaysia Online (SMO).

Kedua-dua kempen itu bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2021 yang mana manfaatnya diharapkan dapat dinikmati sekitar 300,000 perniagaan tempatan termasuk 50,000 yang kali pertama mendaftar untuk sertai kempen ini.

Kerajaan juga menyasarkan 30,000 usahawan wanita mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC sebagai agensi utama akan melaksanakan kedua-dua inisiatif itu berdasarkan konsep pembiayaan awam-swasta.

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2021, kempen ini menyaksikan kerajaan menyuntik pakej insentif bernilai RM200 juta yang bertujuan memberi sokongan kepada perniagaan tempatan pelbagai sektor menyertai platform e-dagang dan e-bayar.

"Langkah ini diharap dapat meningkatkan kemampuan penjualan dalam semua platform yang mengambil bahagian dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan," katanya dalam kenyataan.

Di bawah kempen SMO, kerajaan memberikan insentif seperti potongan harga, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian dari perniagaan dan produk tempatan.

Tambahan RM100 juta turut diperuntukkan untuk membantu perniaga tempatan menyertai platform e-dagang melalui Kempen Go eCommerce.

Menurutnya, ekonomi digital mewakili pemacu utama pertumbuhan negara dan pencapaian luar biasa pada 2020 adalah bukti kejayaan inisiatif dilaksanakan.

"Kerajaan peka dan sentiasa mengambil maklum keperluan industri dan perniagaan. Oleh itu, tambahan peruntukan disalurkan untuk tahun ini adalah sokongan dan dorongan berterusan untuk pertumbuhan ekosistem e-dagang sejajar matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

"Usaha memudah serta membantu perniagaan tempatan untuk bergerak ke arah pendigitalan dan operasi secara dalam talian memastikan mereka menjadi bukti potensi masa depan akibat gangguan berlaku.

"Dengan menyokong perniagaan Malaysia, kerajaan juga memastikan pekerjaan dan kehidupan rakyat dapat diselamatkan," katanya.

Kempen Belanjawan 2021 Go-eCommerce Onboarding dan SMO bertujuan mengurangkan kos operasi dan memastikan perniagaan memanfaatkan peluang baharu, mempercepatkan perniagaan tempatan dan berdaya tahan.

Pada masa sama, matlamatnya untuk meningkatkan keyakinan pengguna supaya membeli produk keluaran tempatan bagi memastikan perniagaan Malaysia tetap berdaya maju dan seterusnya dapat menyelamatkan pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 9:58 AM