MUSTAPA
MUSTAPA

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menetapkan hala tuju ke hadapan yang jelas memandangkan situasi mencabar disebabkan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Pelan Pemulihan Ekonomi menyediakan strategi sistematik untuk negara keluar daripada pandemik ini selain memberi jaminan kepada warga kerja dan perniagaan Malaysia memandangkan ia menetapkan garis masa yang jelas mengenai pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

"Pada beberapa hari kebelakangan ini, kerajaan melakukan usaha yang jauh lebih baik dalam meningkatkan program pemberian vaksin. Ini kerana kadar vaksinasi penting untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan selain usaha memulihkan ekonomi," katanya ketika berucap melancarkan Malaysia Economic Monitor-June 2021 secara maya, semalam.

Mustapa berkata, peningkatan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan langkah sekatan pergerakan memberi kesan ke atas pemulihan ekonomi Malaysia.

Katanya, kerajaan berusaha mengurangkan jumlah kes jangkitan untuk menilai kesan sekatan pergerakan yang bermula 1 Jun lalu.

"Sekiranya langkah yang diambil, termasuk kadar vaksinasi yang tinggi, sekatan pergerakan dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) berhasil mengurangkan jumlah kes Covid-19, Malaysia boleh menjangkakan pemulihan ekonomi yang kukuh pada suku keempat tahun ini," katanya.

Menurutnya, selain itu memahami trajektori ekonomi jangka sederhana dan panjang juga penting untuk memastikan pertumbuhan Malaysia adalah berasaskan inovasi dan produktiviti.

Oleh itu, kerajaan kekal komited untuk meneruskan perundingan awam-swasta, katanya.

"Perundingan ini akan membantu kerajaan dalam merancang dasar yang lebih baik dan menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai kesan Covid-19 ke atas aktiviti ekonomi dan pemulihan pasca-Covid-19.

"Kerajaan mengambil perhatian laporan 'Malaysia Economic Monitor' oleh Bank Dunia yang menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) kepada 4.5 peratus tahun ini, iaitu lebih rendah daripada jangkaan rasmi kerajaan pada 6.0 hingga 7.5 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:01 AM