Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan menurun kepada 4.5 peratus tahun ini berbanding 6.0 peratus yang diunjurkan April lalu oleh Bank Dunia.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan menurun kepada 4.5 peratus tahun ini berbanding 6.0 peratus yang diunjurkan April lalu oleh Bank Dunia.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan menurun kepada 4.5 peratus tahun ini berbanding 6.0 peratus yang diunjurkan April lalu oleh Bank Dunia.

Lonjakan jangkitan baru-baru ini menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan keseluruhan sistem kesihatan Malaysia dan kesan berterusan kitaran membuka dan menutup ekonomi isi rumah dan firma.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata, penurunan itu berikutan peningkatan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan yang memberi kesan jangka pendek kepada ekonomi negara.

Katanya, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka akan memberi kesan ketara kepada penggunaan swasta termasuk perbelanjaan pengguna.

"Bagaimanapun, pemulihan daripada permintaan global dan eksport dijangka terus berkembang dan meneruskan momentumnya.

"Seterusnya, peningkatan dalam eksport akan memberi kesan limpahan kepada aktiviti pelaburan. Maka, berdasarkan semua ini, ekonomi Malaysia diunjurkan untuk berkembang 4.5 peratus pada tahun ini," katanya pada pembentangan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia 'Weathering the Surge' yang diterbitkan Bank Dunia secara maya, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin.

Menurut laporan itu, keutamaan segera Malaysia adalah memberi tumpuan kepada pengurusan pandemik yang berterusan dan berkesan khususnya kesan terhadap individu, isi rumah, dan syarikat.

Melindungi nyawa dan kesihatan warganegara serta mencegah kerosakan lebih lanjut terhadap sistem kesihatan negara sangat penting untuk memastikan penyambungan semula kegiatan ekonomi yang selamat dan mencegah kemerosotan ekonomi yang berlarutan.

Di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh wabak ini, keadaan ekonomi luaran bertambah baik dilihat akan membantu mempermudah pemulihan ekonomi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 2:25 PM