PENSTRUKTURAN semula lembaran imbangan, mengembalikan keuntungan dan menstabilkan aliran tunai tiga objektif MAG.
PENSTRUKTURAN semula lembaran imbangan, mengembalikan keuntungan dan menstabilkan aliran tunai tiga objektif MAG.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


SYARIKAT induk Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), Malaysia Aviation Group (MAG) menjangka dapat mencatatkan pulangan modal dan aliran kewangan positif menjelang 2023 di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP 2.0).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kapten Izham Ismail berkata, MAG menggariskan tiga objektif utama bagi mengembalikan prestasi kewangan lebih baik kumpulan merangkumi penstrukturan semula lembaran imbangan, mengembalikan keuntungan dan menstabilkan aliran tunai.

Beliau berkata, menerusi LTBP 2.0, MAG turut menetapkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) 10.8 peratus bagi tiga portfolio iaitu perniagaan penerbangan, penyelesaian perjalanan dan perkhidmatan lain.

Katanya, MAG turut menjangkakan pendapatan bukan penerbangan akan berkembang pada CAGR 6.8 peratus kepada RM4 bilion menjelang 2025, berbanding RM2.5 bilion ketika ini.

"Jangkaan ini dapat dicapai ketika persekitaran kurang memberangsangkan di tengah-tengah pasaran lemah dengan pemulihan dijangka berlaku mulai separuh kedua 2022. Jika pasaran pulih awal, maka sasaran pulangan modal ini menjadi lebih awal.

"Berdasarkan trajektori yang dilihat MAG ke atas pemulihan berbentuk-L berterusan dengan pemulihan dijangka pada separuh kedua 2022.

"Kami mengharapkan ia kekal begitu memandangkan semua syarikat penerbangan melakukan semua usaha dengan harapan pasaran pulih cepat," katanya pada taklimat media perkembangan terkini perniagaan MAG secara maya, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan MAG, Bryan Foong; dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MAG, Boo Hui Yee.

LTBP 2.0 adalah pelan lima tahun mulai 2021 hingga 2025 yang digagaskan untuk mengubah MAG menjangkaui perniagaan penerbangan konvensional kepada perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka di Asia.

Mengulas lanjut, Izham berkata, kumpulan penerbangan itu menyasarkan untuk mempelbagaikan portfolio dengan menerapkan penyelesaian digital bagi mendorong pertumbuhan masa hadapan kumpulan dan memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Katanya, langkah mempelbagaikan perniagaan membolehkan MAG menahan sebarang kejutan ekonomi pada masa depan.

"LTBP 2.0 akan disokong lima tonggak strategik iaitu menjadi syarikat penerbangan premium Asia Pasifik; merebut semula pasaran domestik dan ASEAN; memperkemaskan kerjasama komersial; mempelbagaikan pendapatan; menjadikan pendigitalan sebagai teras perniagaan.

"Selepas mengukuhkan lembaran imbangan, kami akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan aspek kewangan yang lain termasuk menstabilkan aliran tunai.

"Kami juga akan memperkemaskan jumlah armada kepada 83 pesawat pada 2025 daripada 69 ketika ini dengan menggunakan lebih banyak pesawat Boeing 737-800 untuk pertumbuhan serantau dan Asia Pasifik dan melupuskan pesawat Airbus A380," katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata, MAG menafikan dakwaan kumpulan penerbangan itu melantik atau memberi mandat kepada bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs bagi membimbing pelaksanaan LTBP 2.0.

"Pelan jangka panjang ini dicetuskan pada suku keempat 2019 sebelum mula dihasilkan pada 2019 dan ia dihasilkan sendiri oleh MAG tanpa menggunakan perkhidmatan pihak luar.

"Tiada perunding digunakan kecuali membabitkan bahagian penyusunan semula modal kewangan yang memerlukan penasihat yang bertindak membantu dan menasihat MAG," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:55 AM