Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri dalam keadaan norma baharu ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan SSPN 2021.

Kempen dilancarkan secara langsung secara dalam talian menerusi Facebook PTPTNOfficial itu mencerminkan keprihatinan PTPTN kepada rakyat Malaysia untuk sentiasa mengutamakan simpanan ketika musim perayaan.

Menerusi kempen berkenaan, PTPTN menawarkan hadiah duit raya lumayan iaitu wang tunai hampir RM200,000 untuk 500 pemenang.

Selain itu, hadiah utama yang ditawarkan pula berupa duit raya berjumlah RM8,000 bagi Cabutan Peringkat Nasional manakala duit raya bernilai RM5,000 adalah hadiah utama bagi cabutan peringkat negeri.

Dilaksanakan selama sebulan bermula 1 Mei hingga 31 Mei 2021 ini, pendeposit SSPN yang menyertai kempen ini juga bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah lumayan, malah menikmati pelbagai keistimewaan SSPN seperti pemberian dividen yang kompetitif, perlindungan takaful dan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dengan hadiah menarik ditawarkan itu beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tidak melepaskan peluang ini.

"Dengan simpanan bersih serendah RM100 dalam tempoh promosi, anda layak mendapat satu cabutan Peringkat Negeri manakala bagi simpanan bersih serendah RM300 dalam tempoh promosi, anda akan layak menyertai cabutan peringkat nasional.

"Oleh itu, jangan bertangguh lagi. Mungkin anda pemenang yang kami cari," katanya.

"Dalam keadaan norma baharu, pembukaan dan penambahan simpanan SSPN boleh dibuat dengan mudah secara atas talian di www.lovesspn.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:08 AM