KOMPLEKS Bersepadu Pengerang.
KOMPLEKS Bersepadu Pengerang.

Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Bhd (PCB) menjangkakan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang akan beroperasi pada separuh kedua 2021 akan menyumbang 10 hingga 15 peratus kepada perolehannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Pengerusinya, Datuk Md Arif Mahmood berkata, kumpulan itu akan meningkatkan operasi PIC kepada kapasiti penuh pada tahun depan dan menambah 1.8 juta tan bahan kimia kepada portfolionya.

"Ia bergantung kepada bagaimana harganya (namun), ia mungkin akan menyumbang 10 hingga 15 peratus kepada keseluruhan perolehan," katanya pada sidang akhbar secara maya selepas mesyuarat agung tahunan PCB, semalam.

Loji penapisan dan petrokimia di Pengerang, Johor adalah usaha sama antara Petronas dan Saudi Aramco.

"Kebiasaannya, apabila kita memulakan sesebuah kompleks, kita tidak akan menjalankannya secara kapasiti penuh. Saya berpendapat, pada tahun ini bagi loji bahan kimia (pengeluaran) akan kurang daripada sejuta tan, iaitu pada kira-kira 0.7 juta tan. Ia tidak akan siginifikan (sebagai penyumbang) pada 2021," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, PCB dijangka tidak menyamai jumlah pengeluaran sebanyak 10.7 juta tan setahun yang dicapai pada tahun lepas susulan jumlah pemulihan pada 2021.

"Kami menghadapi pemulihan yang sedikit berat pada tahun ini melibatkan lima daripada fasiliti kami. Untuk memenuhi jumlah pengeluaran yang sama sebanyak 10.7 juta tan adalah sesuatu yang terlalu lama untuk kami, namun ia adalah sesuatu yang kami perjuangkan. Rancangan pada tahun ini (akan dicapai) dengan menghampiri jumlah itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak berkata, pada masa ini PCB sedang menilai lebih daripada 10 projek dengan dua hingga tiga keputusan pelaburan akhir (FID) akan diumumkan pada tahun ini.

"Kami akan terus membuat penilaian dan mengeluarkannya pada tahap yang berbeza. Sebaik sahaja kami mencapai FID ini, kami akan mengumumkannya," katanya dan menurutnya PCB mencari peluang secara proaktif untuk berkembang dalam bahan kimia khusus menerusi penggabungan dan pengambilalihan.

Pada 2020, PCB mengumumkan tiga FID iaitu kemudahan pengadunan silikon di Gebeng, Pahang, pengembangan loji Da Vinci Group di Belanda dan perkongsian bagi pengedaran kimia cecair di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:01 AM