PROJEK HSR wajar dipertimbangkan semula. FOTO NSTP
PROJEK HSR wajar dipertimbangkan semula. FOTO NSTP
BERNAMA

PROJEK Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR), yang boleh memberi faedah kepada projek hartanah di sepanjang laluannya, wajar dipertimbangkan semula oleh kerajaan, kata Pengarah Urusan Kumpulan CBRE | WTW, Foo Gee Jen.

Beliau berpendapat apabila ekonomi domestik menjadi lebih kukuh, kerajaan mungkin perlu memutuskan untuk mempertimbangkan kembali projek tersebut, namun, pada masa ini, keutamaan adalah memerangi Covid-19 dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

"Saya percaya akan ada kesan negatif akibat pembatalan itu, namun saya yakin kita harus mengutamakan peruntukan wang kita seperti untuk pertumbuhan dan kemampanan.

"Pandangan saya mengenai projek HSR adalah ia tidak perlu dibatalkan sebaliknya ditangguhkan buat sementara waktu. Sesuatu yang kita perlu teliti semula apabila ekonomi membolehkannya dilaksanakan," katanya pada taklimat media secara maya mengenai laporan Prospek Pasaran Hartanah Asia Pasifik 2021, hari ini.

Sementara itu, Pengarah CBRE | WTW, Jonathan Lo berkata, pembatalan itu akan memberi kesan negatif terhadap kebanyakan projek akan datang di sepanjang laluan dan stesen yang dirancang, khususnya yang bertujuan untuk meraih faedah daripada kesan limpahan projek HSR.

Beliau berkata koridor barat Iskandar Malaysia akan paling terjejas susulan pembatalan tersebut.

Pada 1 Januari, kerajaan Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan pembatalan projek kereta api sejauh 350 kilometer setelah gagal mencapai kata sepakat mengenai cadangan perubahan pada tarikh akhir 31 Disember 2020.

Perjanjian dua hala bagi pembangunan projek, yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Disember 2016, adalah berlandaskan aspirasi untuk penyepaduan ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Pembinaannya ditangguhkan sehingga Mei 2020 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia, susulan semakan terhadap beberapa komitmen pelaburan kerajaan.

Kedua-dua kerajaan kemudian menangguhkan projek ini bagi kali kedua hingga 31 Disember 2020.

Selain itu, Lo berkata Iskandar Malaysia menghadapi kesan besar ekonomi memandangkan sempadan antarabangsa ditutup dan mengekang pembeli Singapura yang berpotensi daripada membeli hartanahnya.

"Sektor runcit di Iskandar Malaysia bergantung kepada pembeli Singapura dan terjejas teruk. Pandemik ini mengakibatkan pemotongan gaji, ketidakstabilan ekonomi dan kewangan, ini akan menjadi cabaran bagi kebanyakan perniagaan tempatan termasuk pemaju, kerana orang lebih tidak yakin untuk mempertimbangkan pembelian bernilai tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 8:57 PM