SUHAIMI Saiful
SUHAIMI Saiful
HM Digital

PENGELUAR penyegar udara tempatan milik penuh Bumiputera Bliese meletakkan sasaran maksimum 10 tahun ke arah melaksanakan terbitan tawaran awam permulaan (IPO) buat syarikat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Saiful berkata, perancangan itu berasaskan usaha memperluas perniagaan dalam menjadikan Bliese jenama penyegar udara pilihan utama di negara ini.

"Usia syarikat kini baru mencecah 10 bulan di mana dalam keseluruhan tujuh fasa untuk ke IPO, kami hanya berada di fasa kedua dan berusaha ke fasa ketiga jadi perjalanan masih jauh.

"Namun perkara ini bukan mustahil. Sebenarnya, sudah ada pihak yang menyatakan hasrat untuk melabur, tetapi kita tidak mahu terburu-buru dan ingin melihat jika wujud potensi lebih bersesuaian buat syarikat serta ejen Bliese.

"Walaupun apabila IPO nanti syarikat akan menjadi milik awam, saya fikir ia lebih baik untuk suntikan modal lebih baik demi masa depan perniagaan di mana syarikat akan lebih kukuh dalam pasaran," katanya kepada Harian Metro.

Suhaimi berkata, pelbagai strategi kini diatur ke arah itu antaranya untuk menempatkan produk Bliese di pasaran runcit secara lebih meluas dalam tempoh dua tahun lagi.

Langkah itu bagaimanapun katanya, akan mengambil kira kepentingan 2,500 ejen jualan Bliese di seluruh negara yang kini memasarkan produk itu secara langsung kepada pengguna.

"Kita memang bercadang menempatkan produk Bliese di pasaran runcit malah ketika ini ada lima kedai fizikal Bliese masing-masing tiga di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan di Negeri Sembilan," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, Bliese mempunyai tiga produk meliputi penyegar udara jenis penutup kayu (produk sulung), Bliesematic (penyegar udara semburan automatik) dan pewangi badan Bliese.

"Kami bercadang menambah satu lagi produk pada tahun depan yang memfokuskan kepada penjagaan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 7:15 AM