CEO MDEC, Surina Shukri. - FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
CEO MDEC, Surina Shukri. - FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
HM Bisnes

FORUM Ekonomi Dunia (WEF) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjalin kerjasama merangka bersama, merintis prinsip dasar dan rangka kerja pengawalseliaan untuk mempercepat manfaat masyarakat dan mengurangkan risiko daripada teknologi dron.

MDEC akan bekerja secara khusus dengan portfolio aeroangkasa dan dron forum itu untuk merealisasikan objektif kerjasama ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, tumpuan pembabitan MDEC dengan WEF itu untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi membangunkan rangka kerja dasar yang membolehkan penghantaran dron dan kemungkinan pelancaran perkhidmatan penghantaran dron pertama di Asia Tenggara.

“Matlamatnya untuk mewujudkan peraturan yang boleh menjadi model rantau ini dan rantau lain. Perkongsian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat Asean digital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aeroangkasa dan Dron, WEF, Timothy Reuter berkata, negara yang tidak bergerak pantas untuk membolehkan kemunculan teknologi baharu akan merugikan mereka dari sudut ekonomi.

“Kami teruja bekerjasama dengan MDEC dan pihak berkepentingan utama lain di Malaysia untuk mencipta bersama dan merintis prinsip dasar berkaitan pesawat,” katanya.

Kerjasama ini susulan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan ke-30 MDEC dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Oktober 2019 yang menyokong cadangan MDEC untuk melancarkan Inisiatif Tapak Ujian Global dengan penggunaan Teknologi Dron sebagai tapak ujian pertama.

Menurut laporan Pasaran Perkhidmatan Dron, pasaran perkhidmatan dron global dijangka mencapai AS$63.6 bilion (RM259 bilion) menjelang 2025 dengan rantau Asia Pasifik dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul tertinggi sepanjang tempoh itu.

Di peringkat tempatan, penggiat ekosistem di Malaysia tumbuh dengan kadar yang pantas.

Sebagai contoh, Aerodyne Group menduduki tempat ketiga di peringkat global dalam laporan Drone Industry Insights pada 2019.

Aerodyne dan syarikat tempatan lain seperti Poladrone, OFO Tech, Geo Sense dan Asia Drone IoT Technologies berada di barisan hadapan dalam persaingan serantau dan global untuk penyelesaian berkuasa dron.

MDEC berkata, projek Tapak Ujian Global Teknologi Dron itu bertujuan menggabungkan rakan industri utama, agensi kerajaan, pengawal selia, ahli akademik dan pelabur untuk menunjukkan bagaimana teknologi dapat memacu pengunaan merentas pelbagai industri berikutan persekitaran kondusif untuk ia beroperasi.

“MDEC, sebagai agensi utama, berhasrat untuk bekerjasama dengan WEF untuk memanfaatkan kerangka kerjanya dan kajian kes berkaitan dengan pembangunan dasar yang menyokong pelaksanaan Tapak Ujian Global Teknologi Dron untuk penghantaran dron.

“Kejayaan projek perintis ini akan membolehkan Malaysia mempercepat penggunaan teknologi, khususnya teknologi baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:10 AM