LIM  (dua dari kanan)  menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen MoU di antara SME Bank dengan MRL dan CCC-ECRL, semalam.
LIM (dua dari kanan) menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen MoU di antara SME Bank dengan MRL dan CCC-ECRL, semalam.
hmdigital

KUALA LUMPUR: SME Bank, peneraju utama institusi kewangan pembangunan (IKP) bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperuntukkan pembiayaan bernilai RM1 bilion khusus untuk subkontraktor tempatan yang dilantik untuk kerja sivil dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, SME Bank menjadi salah satu pemain utama yang menyalurkan pembiayaan bagi projek ini.

Katanya, untuk permulaan sebanyak RM1 bilion pembiayaan diperuntukkan dan ia dijangka akan meningkat bergantung kepada permintaan.

“Setiap kontraktor yang layak akan mempunyai akses pembiayaan sehingga RM50 juta dan sebarang pembiayaan melebihi jumlah berkenaan akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

“Setakat ini sebanyak 331 kontraktor tempatan sudah memohon pembiayaan berkenaan dengan 234 daripadanya adalah kontraktor Bumiputera,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) di sini, semalam.

Hadir sama, Duta China ke Malaysia, Bai Tian, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Aria Putera Ismail.

Lim berkata, kerjasama ini juga bertindak sebagai pengesahan kepada projek ECRL di bawah perjanjian yang dirunding semula antara Malaysia dan China yang antara lain melihat peningkatan penyertaan subkontraktor tempatan untuk kerja sivil daripada 30 peratus kepada 40 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:36 AM