PENGUSAHA durian  Malaysia perlu ambil peluang tembusi pasaran terbesar dunia. FOTO Farizul Hafiz Awang
PENGUSAHA durian Malaysia perlu ambil peluang tembusi pasaran terbesar dunia. FOTO Farizul Hafiz Awang
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Pertumbuhan dan permintaan eksport terhadap durian Malaysia membuktikan bahawa produk pertanian negara terus diiktiraf dan mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai berkata, pasaran eksport terbesar bagi durian negara ini adalah ke China berikutan raja buah ini mendapat sambutan luar biasa.

Beliau berkata, perkembangan dalam permintaan terhadap eksport durian ini juga dapat menjadi penyumbang kepada ekonomi serta menjana pendapatan Malaysia dan pada masa sama mengangkat sektor pertanian negara.

“Durian Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia jika dibandingan dengan negara lain yang turut mengeluarkan durian di rantau ini.

“Malah, rakyat China juga menganggap raja buah dari negara ini adalah yang terbaik di dunia.

“Malaysia ketika ini mempunyai lebih 200 jenis durian dan ia adalah potensi besar khususnya dengan permintaan yang semakin bertambah terhadap durian tempatan seperti Musang King, Black Thorn dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Durian Game of Thorns 2019 di sini.

Karnival durian itu dianjurkan oleh Dulai Fruits Enterprise Sdn Bhd (Dulai Fruits), anak syarikat milik PLS Plantation Berhad selama tiga hari bermula pada 19 hingga 21 Julai di Desa Parkcity.

Tan berkata, ketika ini dianggarkan hanya satu peratus daripada 1.4 bilion penduduk China mempunyai peluang merasai durian dari Malaysia yang dikatakan sungguh unik dan mempunyai aroma yang wangi.

Menurutnya, pengusaha mahupun syarikat Malaysia perlu mengambil peluang terbabit dalam mengeksport dan menembusi pasaran China kerana ia adalah antara pasaran terbesar di dunia.

“Selain buah, pengusaha juga perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan produk berasaskan durian seperti ais krim, coklat dan kek supaya dapat memenuhi permintaan luar biasa dari negara itu,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjangkakan 1,000 tan durian jenis premium iaitu Musang King dan Black Thorn akan dieksport ke China setiap bulan.

MOA turut menjadikan durian sebagai satu daripada industri di bawah Sumber Kekayaan Baharu dan dianggarkan nilaian kepada eksport negara mampu mencecah kira-kira RM500 juta untuk setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:10 AM