M10 juta diperuntuk setiap tahun bagi membeli jenama francais induk. FOTO Nik Hariff Hassan
M10 juta diperuntuk setiap tahun bagi membeli jenama francais induk. FOTO Nik Hariff Hassan
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) akan memperkembang portfolio perniagaan francaisnya apabila sedang meninjau pasaran berpotensi di Amerika Syarikat (AS) Australia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang berkata, usaha itu selari dengan matlamat syarikat untuk mempelbagaikan segmen perniagaannya.

Katanya, setiap tahun PNS memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM10 juta bagi membeli jenama francais induk.

“Bagi pembangunan francais induk di bawah pelan lima tahun PNS, kami menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya dua jenama setiap tahun.

“Oleh itu, untuk tempoh lima tahun ini, PNS menyediakan RM50 juta dan akan memberi fokus kepada beberapa sektor lain selain makanan dan minuman (F&B),” katanya dalam satu temu bual di sini.

Menurutnya, PNS akan mencari francais induk yang terbabit dalam sektor perkhidmatan, peruncitan, pembuatan, pendidikan, bioteknologi, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pelancongan perubatan.

Fauzi berkata, melalui pelan lima tahun (2019 hingga 2023) PNS juga akan memartabatkan jenama francais melalui pemilikan dan operasi.

“Industri francais mencatatkan pertumbuhan stabil dan dari segi sumbangan industri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), didapati ia meningkat lima peratus tahun lalu.

“Kami percaya sasaran sumbangan RM35 bilion kepada KDNK menjelang 2020 akan dapat dicapai dan disebabkan itu PNS telah menstruktur pelan lima tahun kami untuk memantapkan lagi industri francais,” katanya.

Setakat ini, PNS adalah pemegang tiga hak francais induk iaitu Gloria Jeans Coffee (GJC), 1901 dan terbaharu, Abdul Samad Al-Qurashi (ASQ) iaitu pengeluar minyak wangi oriental terbesar di Makkah, Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 8:05 AM