LEO MOGGIE. FOTO Salhani Ibrahim
LEO MOGGIE. FOTO Salhani Ibrahim
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia untuk menceburi perniagaan kesalinghubungan yang menyediakan prasarana gentian optik bagi jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB), susulan kejayaan projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin, Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, TNB melihat potensi perniagaan kesalinghubungan dan menimbang dengan berhati-hati untuk meneroka bidang itu.

“Kami bersedia menyertainya dengan cara berhemat di kawasan tertentu bagi inisiatif kesalinghubungan ini untuk kelajuan jalur lebar.

“Hasil di Jasin menunjukkan selagi kami tidak membenarkan akses pihak ketiga melepasi tahap tertentu prasarana grid kami, kami berasa terjamin bahawa keselamatan adalah dijamin” katanya.

Moggie berkata, berdasarkan kepada ujian perintis itu, sokongan daripada kerajaan akan diperlukan sekiranya syarikat itu mahu memperkenalkan prasarana gentian optik di kawasan luar bandar berikutan pelaburan besar yang diperlukan.

“Jika kami mahu pergi ke kawasan yang sama dengan (Jasin), kami perlu berbincang dengan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat itu melihat ke kawasan bandar yang kurang akses Internet kelajuan tinggi apabila TNB boleh memainkan peranan tanpa membebankan kerajaan.

Selain itu, katanya, sebagai syarikat senaraian awam, TNB perlu menimbang pulangan daripada pelaburannya dalam perniagaan kesalinghubungan.

“Jika kita menyertainya, ia sepatutnya membawa kewajaran perniagaan kepada TNB,” katanya.

Memandangkan perniagaan itu memerlukan kepakaran yang sedikit berbeza daripada perniagaan terasnya menyediakan elektrik, beliau berkata, syarikat itu juga perlu menimbang keupayaan sumber manusia untuk menguruskannya.

Projek rintis NFCP itu membolehkan tiga kawasan kediaman yang terdiri daripada 1,100 isi rumah menikmati kelajuan Internet yang mencecah 1Gbps pada harga mampu milik menerusi pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan oleh lapan penyedia perkhidmatan sedia ada.

Mengenai perkembangan lain, Moggie berkata, TNB menukarkan ibu pejabatnya di Bangsar menjadi ibu pejabat ala kampus yang dilengkapi pusat Islam, pusat konvensional, pejabat masyarakat dan pusat interaktif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:54 AM