Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Keuntungan sebelum zakat dan cukai FGV Holdings pada suku kedua 2018 merosot 98.78 peratus kepada RM1.25 juta berbanding RM102.44 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan yang diraihnya pada suku dikaji juga susut kepada RM3.44 bilion berbanding RM4.21 bilion pada suku sama tahun lalu.

FGV Holdings dalam kenyataannya berkata, prestasi lemah itu antara lain disebabkan produktiviti lebih rendah yang tidak mencapai sasaran, harga purata MSM lebih rendah, kos pengeluaran lebih tinggi dan perkongsian kerugian daripada syarikat usaha sama serta sekutu yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, Lembaga Pengarah mengakui langkah seterusnya perlu diambil oleh pengurusan demi menambah baik kecekapan dan keberkesanan operasi, bagi menghasilkan keputusan mampan di bawah persekitaran pasaran yang berubah-ubah.

“Perbandingan dengan syarikat lain membuktikannya. Tambahan lagi, prestasi syarikat tidak menepati jangkaan pasaran dan sasaran yang ditetapkan secara dalaman oleh pengurusan,” katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:59 AM